Social Icons

MH370: Johor dan Perak berkabung

BENDERA Johor dipasang separuh tiang di Dataran Emas, Muar
Johor Bahru: Bagi menghormati mangsa penerbangan MH370, kerajaan negeri Johor mengibarkan bendera separuh tiang di semua pejabat dan bangunannya, semalam.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, semua jabatan dan agensi kerajaan serta swasta dikehendaki menaikkan bendera Johor separuh tiang selama sehari bagi menghormati mangsa tragedi pesawat MH370.

Di Ipoh, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah menitahkan supaya bendera negeri Perak dikibar separuh tiang di negeri itu hari ini bagi menghormati tragedi itu.

“Semua jabatan agensi, institusi, sekolah termasuk swasta perlu berbuat demikian sebagai tanda dukacita negeri dan rakyat Perak kepada kaum keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Di Kota Kinabalu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam perutusannya menzahirkan rasa dukacita di atas insiden pesawat MH370.

Di Seremban, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Negeri Sembilan berdoa kepada Allah SWT memberikan kesabaran kepada seluruh keluarga yang bersedih,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke loji rawatan air Ngoi-Ngoi.

MH370: Sultan Johor titah bendera negeri dikibar separuh tiang

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan semua bangunan kerajaan negeri di Johor mengibarkan bendera negeri separuh tiang bagi menghormati semua penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil, berkata semua bangunan kerajaan negeri akan mengibarkan bendera separuh tiang sepanjang hari ini.


100 tahun EC

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar RAJA JAAFAR ALI dan AMIN FARIJ HASAN
Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin menandatangi buku perjumpaan 100 tahun pelajar EC
Bangunan lama yang menempatkan kelas-kelas pelajar di Maktab Sultan Abu Bakar atau English College (EC).

21 Mac 1914 merupakan tarikh yang pasti diingati oleh seluruh warga sekolah Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) atau ketika ia dikenali dengan nama English College (EC) kerana itu merupakan tarikh penubuhan sekolah terbilang itu.

Pada tarikh tersebut, seramai 21 pelajar lelaki daripada sekolah Bukit Zaharah Lama terpilih untuk mendapat bantuan pendidikan penuh di bawah didikan dua guru berbangsa Inggeris iaitu Morrison dan Holman sebagai kumpulan pertama yang seterusnya menjadi permulaan kepada maktab yang terletak berhampiran Istana Sungai Chat ketika itu.

Sistem pendidikan yang diterapkan di MSAB adalah mengikut sukatan mata pelajaran yang digunakan pihak British ketika itu dimana guru-guru terawal yang mengajar juga datang dari Eropah sebelum guru-guru tempatan mula dibawa masuk mengajar di sekolah tersebut.

Pada akhir tahun 1930, maktab tersebut berpindah ke lokasi baharu yang tidak berjauhan dan mula menyinar sebagai sebuah pusat pendidikan yang banyak melahirkan pelajar-pelajar cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan negeri Johor dan juga negara.

Sewaktu zaman penjajahan tentera Jepun pada tahun 1941 sehingga 1945, EC bertukar wajah daripada pusat pendidikan kepada markas tentera, kilang senjata, hospital tentera serta tempat penyeksaan dan pembunuhan tahanan tentera Jepun.

Namun ia kembali ke fungsi asalnya pada tahun 1946 untuk mendidik anak tempatan serta melahirkan modal insan berkualiti yang diperlukan negara ketika itu.


Bermula daripada sekolah lelaki sepenuhnya, EC mula menerima kemasukan kumpulan pelajar perempuan pertama pada tahun 1949 iaitu seramai dua orang bagi mengikuti Post School Certificate iaitu Tingkatan Enam.

Penambahan struktur bangunan baharu untuk EC terus berjalan seiring dengan kemajuan zaman seperti pembinaan bangunan dewan dan juga makmal sains.

Persatuan bekas pelajar pertama EC ditubuhkan pada tahun 1950 dengan nama Persatuan Murid-Murid Tua Maktab Inggeris.

Kemudian pada tahun 1960, nama Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) mula diperkenalkan bagi menggantikan nama English College (EC) sempena nama Bapa Pembangunan Negeri Johor iaitu Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim.

Sungguhpun begitu, panggilan ‘EC’ begitu sinonim dan ramai yang masih menggunakan gelaran yang sama kepada sekolah tersebut selepas lebih empat dekat dengan nama MSAB.

Sekolah yang pada awalnya menempatkan seramai 21 pelajar ini telah berkembang sehingga menempatkan tidak kurang daripada 1,200 pelajar setiap tahun daripada tingkatan satu sehingga tingkatan enam.

Selain itu, MSAB juga menempatkan pelajar-pelajar yang tergolong daripada golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan melalui Unit Pendidikan Khas yang wujud di maktab tersebut bermula pada tahun 1967.

Sehingga kini, MSAB telah banyak melahirkan individu-individu yang berjaya dalam pelbagai bidang meliputi politik, seni dan juga perniagaan.

Maktab yang sinonim dengan warna hijau dan kuning itu juga berjaya menerapkan nilai-nilai murni dalam pembangunan sahsiah pelajar dan warga sekolah iaitu melalui kata Usaha dan Jasa atau Labore et Honore.
Kata-kata tersebut begitu dekat di hati para pelajarnya dimana ia berterusan menjadi pegangan seluruh alumni sekolah tersebut walaupun sudah lama meninggalkan zaman persekolan mereka.

Kini, MSAB atau EC telah menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya pada 21 Mac 2014 dan pastinya, warga sekolah yang terdiri daripada bekas pelajar, bekas guru dan bekas kakitangan boleh berbangga dengan pencapaian gemilang sekolah kluster kecemerlangan itu.

Rahsia zaman sekolah Pak Ungku, Robert Kuok di English College, Johor Bahru

PROFESOR Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid bukanlah satu nama asing yang perlu diperkenalkan kerana hampir semua rakyat mengetahui jasa tokoh akademik ini kepada negara.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ungku juga sangat sinonim dengan usahanya membantu orang Melayu terutama dalam membasmi kemiskinan.

Antaranya melontarkan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada 1963 dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) pada 1971.

Beliau juga ialah ahli ekonomi Melayu pertama dan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) tempatan yang pertama dan paling lama berkhidmat. Pak Ungku turut berjasa menubuhkan Pusat Asasi Sains dan Fakulti Islam di UM di samping Program Persediaan Khas Jepun yang berjaya melahirkan puluhan ribu siswazah bumiputera dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.

Sementara itu, Tan Sri Robert Kuok, 91, pula cukup dikenali terutama kerana beliau sehingga kini masih mengekalkan rekod sebagai orang terkaya di Malaysia.

Anak jati Johor ini mempunyai kekayaan berjumlah AS$16.7 bilion (RM54 bilion) pada 2013, mengikut Indeks 300 bilionair oleh Bloomberg. Pengerusi Kuok Brothers Group of Companies ini kini berada di tempat ke-50 dalam senarai 300 bilionair dunia sehingga akhir tahun lalu.

Beliau yang meninggalkan Malaysia sejak empat dekad lalu untuk menetap di Hong Kong juga pernah berkhidmat dengan Felda yang telah memberikannya idea untuk menceburi perniagaan komoditi.

Selain perniagaan gula dan minyak sawit menerusi Wilmar International Limited yang berpangkalan di Singapura, beliau juga menguasai syarikat perhotelan Shangri-La Asia. Apabila disebut nama kedua-dua tokoh ini, kita sudah tentu ingin mengetahui apakah persamaan yang membolehkan mereka berjaya dalam bidang dipilih masing-masing.

Rahsia itu akhirnya didedahkan Pak Ungku ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk Anjakan Pemikiran Mahasiswa: Membentuk Minda Geliga di UM, Jumaat lalu. Dalam usia menjangkau 92 tahun, beliau tetap cerdas dan cergas menyampaikan syarahan biarpun sambil duduk bagi membolehkannya berkongsi pengalaman dengan mahasiswa di universiti yang pernah diterajuinya selama 20 tahun.

Pak Ungku dan Kuok sama-sama belajar di peringkat menengah di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

"Satu persamaan yang kami berdua kongsi adalah banyak membaca buku dan memiliki sifat ingin tahu yang tinggi.

"Kami berdua dan beberapa pelajar lain gemar mengunjungi perpustakaan sekolah. Kami bukan membaca satu buku sahaja malah setiap kali kunjungan, kami membaca satu rak demi satu rak.

"Apabila semua buku di perpustakaan sekolah habis dibaca, kami berkunjung pula ke Perpustakaan Awam Johor Bahru dan membaca semua buku di sana termasuk yang dianggap tidak sesuai pada usia kami," ujarnya.

Beliau berkata, sifat sedemikian adalah sama seperti yang dianjurkan tokoh seni dan sains dari Itali, Leonardo da Vinci.

"Tokoh ini dalam sebuah bukunya telah menulis bahawa kita mesti mempunyai sifat ingin tahu. Beliau juga mengesyorkan supaya kita sentiasa bertanya untuk mendapat maklumat.

"Kita mesti sentiasa menyebut ungkapan mengapa dan kenapa. Sebab itu saya sehingga sekarang sentiasa bertanya soalan kerana dengan banyak bertanya kita akan lebih berjaya.

"Kalau tidak mendapat jawapan, saya akan mencarinya di dalam buku dan juga menggunakan komputer untuk merungkai semua persoalan berkenaan," katanya.

Menurut Pak Ungku, beliau tidak menjadi bilionair seperti Kuok kerana sejak dari awal lagi telah menetapkan untuk menjadi seorang intelektual dan bukan jutawan.

"Selain tidak mahu menjadi kaya, saya juga tidak mahukan pangkat, gelaran dan segala anugerah kehormatan.

"Saya tidak mahukan apa-apa sebaliknya hanya ingin menjadi seorang yang gembira. Hasrat ini akhirnya tercapai dan saya gembira dengan kehidupan yang telah saya jalani dan hidup saya sekarang," katanya.

Menurut beliau lagi, seseorang itu boleh menjadi individu berjaya dalam hidup jika sentiasa mementingkan kecemerlangan dan memberikan fokus dalam setiap apa yang dilakukan.

"Jika kita masih lagi seorang pelajar, fokus kita yang utama adalah untuk belajar, sebaik-baiknya 95 peratus masa kita adalah untuk belajar dan belajar sahaja.

"Kalau kawan tanya kita jawab tetapi setakat itu sahaja dan janganlah kita selepas itu melayan kawan untuk berborak kosong.

"Saya ketika menjadi pelajar, belajar dengan bersungguh-sungguh dan sebab itu saya sentiasa menjadi pelajar cemerlang termasuk ketika di Kolej Raffles, Singapura.

"Sebagai Melayu pertama yang dihantar untuk belajar di Jepun, saya telah bersungguh-sungguh menguasai bahasa Jepun bagi membolehkan melanjut pelajaran di Universiti Waseda, Tokyo," katanya.

Sementara itu, Pak Ungku berkata, orang Melayu boleh menjadi kaum yang cemerlang jika dapat membuang sifat tidak peduli atau sifat acuh tak acuh yang wujud di kalangan mereka.

Jelas beliau, sifat negatif itu menyebabkan orang Melayu lebih gemar menggunakan istilah berbahasa Inggeris sedangkan perkataan sama boleh diperoleh dalam bahasa Melayu.

Katanya, antaranya nama tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan ubat yang telah wujud dalam perbendaharaan kata Melayu sejak 1,000 tahun lalu.

"Orang Melayu pada zaman dahulu sangat kreatif dan sudah boleh berfikir dengan cara yang saintifik.

"Mereka boleh menghasilkan ubat mujarab yang kemudiannya dijadikan antara barangan dagangan utama, tetapi nama pokok dalam bahasa Melayu yang dijadikan ubat-ubatan ini, generasi sekarang sudah tidak ingat," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau bersyukur kerana sudah muncul golongan muda Melayu yang berani untuk mencabar sistem sedia ada dan mempunyai pemikiran yang baharu.

"Generasi baharu ini saya lihat sudah mempunyai pemikiran tahap tinggi dan kembali untuk melakukan inovasi dalam pelbagai bidang," ujarnya.

Tunku Mahkota Johor harap MH370 ditemui

JOHOR BAHRU 20 Mac - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut bersedih atas kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 sejak 8 Mac lalu berharap kapal terbang itu dapat ditemukan segera.

Pada masa sama, baginda turut melahirkan keyakinan pesawat Boeing 777-200 itu akan ditemukan berdasarkan pelbagai kecanggihan teknologi sedia ada.

"Saya berharap mereka dapat selesaikan semua masalah secepat mungkin. Dengan teknologi sekarang yang dunia ada ini, mustahil tiada orang boleh kesan kapal terbang sebesar itu.

"Apa pun kita perlu mendoakan yang terbaik untuk penumpang serta anak kapal dan berharap keluarga mereka tabah menghadapi dugaan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita semasa melawat pusat kecergasan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang baru diubah suai dengan kos dianggarkan sebanyak RM3 juta di Padang Seri Gelam di sini hari ini.

Dalam kejadian 8 Mac lalu, pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang.

Sambutan 100 Tahun Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru

JOHOR BAHRU 19 Mac - Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) menaja sebanyak 10,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia sempena Sambutan 100 Tahun Yang Gemilang MSAB pada Jumaat ini.

Naib Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar dan Bekas Kakitangan MSAB (ECA), Ungku Abdul Rahman Ungku Ibrahim berkata, sambutan ulang tahun sekolah tersebut bertujuan meningkatkan semangat para pelajarnya untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan.

“Sambutan 100 Tahun Yang Gemilang MSAB ini selain bertujuan mengimbau nostalgia dan pelbagai kejayaan yang telah dicapai sekolah ini juga bagi membangkitkan semangat para pelajar generasi kini.

“Ini sebagai pemangkin kepada mereka untuk mengukir sejarah kegemilangan sehingga 100 tahun akan datang pula," katanya selepas menyampaikan replika cek tajaan akhbar di pekarangan sekolah tersebut, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan English College 100 Tahun, Zais Samsudin Md. Ariff dan Eksekutif Pemasaran Wilayah Selatan Kumpulan Utusan, Shahrul Azhar Yaakob (kanan).

Sempena sambutan ulang tahun tersebut, pelbagai program dianjurkan seperti Pelancaran 100 Hari Menjelang 100 Tahun MSAB, Pelancaran Setem 100 Tahun MSAB, Cabaran Berbasikal 100 Tahun MSAB dan Pameran 100 Tahun MSAB.

Dapatkan Buku Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012 di Majlis Sambutan 100 Tahun Maktab Sultan Abu Bakar 
Malam kemuncak majlis sambutan MSAB yang dahulunya dikenali sebagai English College (EC) dijadual dirasmikan oleh Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar yang juga alumni sekolah tersebut.

Selain itu, satu upacara khas akan turut diadakan iaitu membuka kapsul amanat oleh Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid yang disimpan rapi sejak 30 tahun lalu.

Ungku Abdul Rahman berkata, ECA yang ditubuhkan sejak tahun lalu bertujuan mengumpulkan individu yang pernah belajar atau bertugas di sekolah tersebut bagi mengeratkan hubungan silaturahim yang pernah terjalin suatu ketika dahulu.

“Selain itu, persatuan ini juga berperanan menganjurkan dan memberi sokongan kepada pelbagai program lain yang akan dijalankan oleh pihak sekolah," katanya.

ADAT ISTIADAT KESULTANAN JOHOR MODEN 1855-2012

Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855–2012
Pengarang: Dato' Abdul Rahim Bin Ramli
  • 2013
  • ISBN 978-983-52-0916-1
  • 395 muka surat
  • RM 180.00
  • Bidang Umum
  • Terbitan: Penerbit UTM Press


SINOPSIS
Johor Moden diasaskan oleh Temenggong Daeng Ibrahim dalam tahun 1855, iaitu bermula dengan penyerahan kerajaan dan negeri Johor oleh Sultan Ali, dan diperkukuhkan oleh Sultan Abu Bakar dengan pelbagai inisiatif yang menerapkan elemen inovasi Barat. Inisiatif elemen inovasi yang diterapkan merentas sistem pentadbiran, pelajaran, pertahanan, pengangkutan, seni bina, cara berpakaian dan perlakuan budaya istana. Kesan inisiatif inovasi ini bukan setakat berlaku pembaharuan, bahkan menjadikan negeri Johor unik dan pertama melakukannya yang mendahului negeri-negeri lain. Inovasi yang amat menyerlah dan memberi impak besar ialah termaktubnya Undang-undang Tubuh Kerajaan yang kandungannya sarat dengan peraturan perajaan. Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor ini dicipta dengan tujuan menentukan ketuanan negeri Johor kekal berada dalam kuasa dan jalur zuriat Temenggong.

Inovasi Sultan Abu Bakar yang ditanggap amat bijak dan berani ke arah membawa perubahan dalam tradisi warisan Raja-raja Melayu ialah mencipta sebuah mahkota, regalia dan darjah kebesaran. Penciptaan ini sekali gus memartabatkan kedaulatan Baginda dan waris takhta negeri Johor.

Pembaharuan lain yang dicipta oleh Sultan Abu Bakar adalah pengiktirafan antarabangsa berkaitan gelaran Baginda sebagai Sultan Johor. Pengiktirafan ini menempatkan Baginda sama taraf dengan Raja-raja Melayu. Pengiktirafan ini juga sekali gus menafikan salah tanggap dan tindakan Raja-raja Melayu pada satu ketika yang tidak mengiktiraf Baginda dengan tanggapan Baginda bukan berketurunan darah raja.

Sultan Abu Bakar dan Sultan-sultan Johor selepas Baginda tidak mengetepikan, bahkan menambah baik dan memperkayakan adat resam dan budaya istana untuk dijadikan khazanah dan kesinambungan warisan rakyat.

Budaya istana adalah adunan budaya Melayu dengan budaya Barat, dan diperkukuhkan dengan ajaran dan kefahaman agama Islam. Pengadunan budaya ini dapat dilihat dengan jelas dalam adat istiadat kemahkotaan, sambutan ulang tahun hari keputeraan dan lain-lain istiadat diraja.

Berbekalkan kelebihan ini membolehkan Sultan Abu Bakar membentengi dan mempertahankan kemerdekaan Johor selama 33 tahun berturut-turut daripada serangan bertubi-tubi British untuk menakluki Johor. Kebijaksanaan Baginda ditandai dengan gelaran Bapa Johor Moden.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memperbaiki dan memperkayakan budaya istana dengan meringkaskan cara memberi hormat takzim, mengetepikan warna larangan, dan memperkenankan pakaian kebangsaan bagi memberi keselesaan kepada dif perempuan. Baginda menghidupkan gelaran diraja yang pernah digunakan pada zaman dahulu di negeri Johor, seperti Laksamana, Panglima dan Putera serta mengadakan bendera bagi penyandang gelaran tersebut.


Pemenang Anugerah Perdana Kategori Buku Warisan Sejarah di Malam Anugerah Buku Negara 2013.
Anugerah Buku Negara 2013 (Kategori Buku Warisan Sejarah) - Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855 - 2012

BIODATA PENGARANG
Dato' Abdul Rahim Bin Ramli Penulis buku Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855–2012
Dato' Abdul Rahim Bin Ramli, 72 tahun adalah pesara kerajaan setelah berkhidmat 30 tahun sebagai Pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor. Jawatan terakhir yang disandang beliau selama tujuh tahun ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Selain jawatan kerajaan, beliau dilantik oleh Sultan Johor sebagai Pegawai Istiadat Istana bermula dengan jawatan Bentara Kiri, Dato’ Bentara Kanan, dan Dato’ Penghulu Biracana. Pada tahun 1996 Almarhum Sultan Iskandar melantik beliau sebagai Setiausaha Jumaah Majlis Diraja, Dato’ Penghulu Istiadat, dan Menteri Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia. Ketiga–tiga jawatan kekal disandang beliau hingga sekarang.

Pengalaman beliau sebagai pentadbir yang pernah berkhidmat dengan empat orang Menteri Besar dan sebagai Pegawai Istiadat Istana semenjak zaman Almarhum Sultan Ismail mendorong beliau menulis rencana dan buku berkaitan adat istiadat dan protokol istana. Dalam kalangan pegawai kerajaan negeri, pengalaman dan pengetahuan luas ini menjadikan beliau pakar rujuk dalam hal sejarah, protokol dan budaya istana. Selari dengan hal ini, beliau dilantik oleh Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Penasihat Sejarah dan Kebudayaan Istana dalam Jumaah Majlis Diraja. Atas jasa khidmatnya beliau dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (S.M.J) pada tahun 1976, dinaikkan ke Pangkat Kedua Dato’ Paduka Mahkota Johor (D.P.M.J (1978)) dan pada tahun 1986 dinaikkan ke Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J). Beliau juga dikurniakan Darjah Dato’ Setia Sultan Ismail (D.S.I.J) dalam tahun 1980 dan dinaikkan ke Pangkat Pertama Dato’ Sri Setia Sultan Ismail (S.S.I.J) dalam tahun 1982. Selain itu, beliau dikurniakan Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (P.L.P), Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S II), dan Bintang Sultan Ismail (B.S.I).

Pada masa ini beliau berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Tanjong Puteri Golf Resort, dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor. Dalam penulisan, antara karya beliau yang pernah diterbitkan oleh Penerbit UTM Press ialah Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor (2011).

KANDUNGAN
Titah Pengantar
Prakata
Pendahuluan

Bahagian Pertama
Bab 1 – Institusi Raja Johor
Bab 2 – Pelantikan Waris
Bab 3 – Sejarah Pelantikan Tunku Mahkota Johor
Bab 4 – Istiadat Pemasyhuran DYAM Tunku Ibrahim Ismail Sebagai Tunku Mahkota Johor
Bab 5 – Istiadat Pemasyhuran DYAM Tunku Ismail Sebagai Tunku Mahkota Johor Bab 6 – Pangkuan Raja
Bab 7 – Istiadat Pelantikan Raja

Bahagian Kedua
Bab 8 – Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor
Bab 9 – Istiadat Kemahkotaan Sultan Abu Bakar
Bab 10 – Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim
Bab 11 – Istiadat Kemahkotaan Sultan Ismail

Bahagian Ketiga
Bab 12 – Istiadat Perkahwinan Diraja
Bab 13 – Istiadat Keputeraan Diraja

Bahagian Keempat
Bab 14 – Istiadat Pemakaman Diraja
Bab 15 – Pelaksanaan Istiadat Pemakaman Diraja
Bab 16 – Istiadat Pemakaman Sultan Abu Bakar
Bab 17 – Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Ibrahim
Bab 18 – Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Ismail
Bab 19 – Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Iskandar
Bab 20 – Istiadat Pemakaman Almarhumah Sultanah Aminah
Bab 21 – Istiadat Pemakaman Almarhum Tunku Abdul Rahman
Bab 22 – Istiadat Hari Hol

Bahagian Kelima
Bab 23 – Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
Bab 24 – Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

Lampiran
Pengumuman Kemangkatan
Senarai Makam Di Makam Diraja Mahmoodiah

Untuk pertanyaan dan pembelian hubungi talian berikut 019-799-8249