Social Icons

W1N: Sultan Johor ikut prosedur

JOHOR BAHRU : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata baginda tidak keberatan membayar RM748,000 untuk nombor pendaftaran W1N kerana baginda tahu bahawa jumlah yang dibayar akan disalurkan kembali kepada rakyat.

"Rakyat akan mendapat manfaat daripadanya. Jadi, jumlah yang dibayar adalah kecil berbanding dengan faedah yang diterima rakyat," kata baginda ketika ditemui di Istana Pasir Pelangi di sini.

Tambah baginda lagi, proses pembidaan yang dilakukan itu adalah mengikut prosedur yang betul.

"Saya bukan jenis yang suka melangkau prosedur untuk mendapatkan sesuatu. Ini adalah 'cara Johor' untuk membayar apa yang kita mahukan kerana semua perlu mendapat peluang yang adil dan seperti kata pepatah, 'the best man win'," jelas baginda.

Sultan Ibrahim merupakan peminat kereta dan mempunyai banyak model kereta edisi terhad dalam koleksi baginda. Nombor pendaftaran W1N tersebut akan diletakkan di kereta buatan tempatan Proton Suprima S.

Menurut senarai JPJ, nombor plat W2N telah dimenangi dengan bidaan RM92,229 manakala W11N dan W14N diperuntukkan bagi badan kerajaan.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim telah memenangi bidaan bagi no pendaftaran WWW 1.

24-01-2012 - Tunku Ismail ambil alih tampuk kepimpinan PBNJ


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengumumkan secara rasmi dalam laman Twitter miliknya menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Tunku Ismail juga menyatakan matlamat untuk menghindar campur tangan politik dalam arena sukan bola sepak, sekali gus mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor.

Pada masa sama, Tunku Ismail mahu memperkasa semua sukan di Johor termasuk sukan subjektif.

Pada 2009, barisan kepimpinan PBNJ bertukar tampuk kepimpinan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Md Jais Sarday.

Sementara itu, Md Jais ketika dihubungi mengalu-alukan kesediaan Tunku Ismail untuk membantu persatuan itu demi kebaikan rakyat dan anak muda Johor.

“Jika ada yang lebih baik untuk menguruskan, tidak ada masalah dan ia bukan isu, selama ini, kita (pengurusan) telah buat yang terbaik untuk persatuan dan pasukan.

“Saya sedia undur diri dan tidak ada masalah untuk sesiapa menggantikan, tetapi ia perlu dibincangkan,” katanya.

ARTIKEL YANG BERKAITAN:
  1. Bolasepak Johor kembali gemilang
  2. TEMURAMAH BERSAMA TUNKU MAHKOTA JOHOR : BAHAGIAN PERTAMA
  3. TEMURAMAH BERSAMA TUNKU MAHKOTA JOHOR : BAHAGIAN KEDUA
  4. Lagenda bola sepak Johor puji Tunku Mahkota Johor
  5. I’ll do it my way

Kenangan bersama Almarhum Sultan Iskandar

"Saya, masa dengan almarhum dulu, almarhum tak suka tengok saya berjalan. Dia tak kasi saya keluar negara. Dia pun jarang keluar negeri, luar negara. Mesti dia nakkan saya tak jauh dari dia."

"Dengan adik-beradik saya yang lain dia tak kisah. Dengan saya satu dia mesti control. Sampai dalam negeri Johor pun saya nak bergerak luar daerah Johor Bahru, mesti pergi mengadap sembah dia dulu. Kalau saya pergi ke pulau pun nak menyelam saya mesti sembah. "Berapa lama nak pergi? bila nak pergi? Bila balik? Siapa lagi yang pergi" Dia nak tau juga siapa orang-orang saya ni. Selepas itu, akhir sekali, baru Almarhum ucapkan selamat, “Bah doakan semuanya tak ada apa-apa, semuanya selamat."

"Apabila balik saya terus mengadap. Dia pun nak tahu apa cerita, "Apa nampak dalam air masa menyelam? berapa lama menyelam? berapa banyak kali menyelam? ikan apa dapat? Kalau kita cerita pasal ikan, mesti dia tanya "mana ikan tu?". Mesti siap tunjuk. ni ikannya bah.. Almarhum akan tanya, "betul ke ni kau yang tembak?" Almarhum tidak suka perbuatan membazir, pantang sekali kalau melihat pembaziran."

"Kalau mahu ke luar negara, contohnya, hendak lihat anak saya bersekolah di Australia. Almarhum akan tanya, berapa hari pergi ke sana. Saya jawab seminggu. “Eh, mana boleh?” Almarhum potong tiga hari. Jadinya pergi satu hari, melawat satu hari, balik satu hari, tinggal satu hari sajalah cuti saya. "Ar Cukup, buat apa banyak-banyak."

"Saya dengan Almarhum sangat rapat, tetapi saya tidak pernah menjawab, kalau Almarhum murka dengan saya, saya tidak menjawab, saya diam. Perlahan-lahan Almarhum akan ‘sejuk’ semula. Itulah hubungan bapa dengan anak."


ARTIKEL YANG BERKAITAN:
  1. 23-01-2010 - Tunku Ibrahim dilantik Sultan Johor ke-5
  2. Majlis Pemasyuran yang diwarnai dengan kesedihan
  3. Wawasan Sultan Ibrahim

Tunku Mahkota Johor berangkat ke Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Johor

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim diiringi Menteri Besar Datuk Seri Hj. Mohamed Khaled Nordin berangkat ke Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Masjid Bandar Kota Tinggi. NSTP/Roslan Khamis
Di JOHOR, kira-kira 5,000 umat Islam menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Jamek, Kota Tinggi.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bonda baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan adinda baginda Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis sambutan itu.

Terdahulu, sambutan bermula kira-kira 7.30 pagi dengan perarakan melibatkan 70 kontinjen mewakili agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan sekolah diketuai Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Majlis diserikan dengan bacaan al-Quran oleh johan Majlis Tilawah Al-Quran dan berzanji peringkat daerah Kota Tinggi 2013 Ustaz Zunaidi Tarpani serta ceramah oleh Kadi Daerah Kota Tinggi Mohd Fauzi Bachok.

Tunku Panglima Johor YAM Tunku Abdul Rahman bersama Tunku Panglima Johor YAM Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim diiringi Pegawai Daerah Johor Bahru, Tuan Hj. Amran Bin A. Rahman berangkat ke Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Johor Bahru
Di Johor Bahru, Tunku Panglima Johor YAM Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim bersama adindanya Tunku Putera Johor YAM Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim turut menyertai perarakan sejauh 5km bermula dari Bangunan Sultan Ibrahim ke Masjid Sultan Abu Bakar.


Tunku Temenggong Johor YAM Tunku Idris Sultan Ibrahim berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Pontian.

Keberangkatan tiba Tunku Laksamana Johor YAM Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim ke Masjid Sultan Ismail, Batu Pahat.

13-01-2012 - Tunku Tun Maimunah Almarhum Sultan Ismail mangkat

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyiram air pada istiadat pemakaman 
Tunku Tun Maimunah Almarhum Sultan Ismail di Makam Diraja Mahmoodiah, 
Johor Bahru, semalam.
13/01/2012 5:42pm

JOHOR BAHARU 13 Jan. - Tunku Tun Maimunah Almarhum Sultan Ismail, bonda saudara Sultan Johor Sultan Ibrahim, mangkat akibat sakit jantung di sini hari ini.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli ketika dihubungi berkata, Tunku Tun Maimunah, 73, yang lebih dikenali sebagai Tunku Gedong, mangkat di kediamannya di Bukit Gedong di sini pada 4.50 pagi.

Diputerikan pada 12 Februari 1939, Tunku Tun Maimunah adalah anakanda kepada Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Sultanah Ungku Tun Aminah, merupakan isteri Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad.

Jenazahnya disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini pada 4.30 petang tadi.
Sultan Johor Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan kerabat diraja Johor yang lain hadir pada istiadat pemakaman berkenaan.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Ali Hassan dan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor. — BERNAMA

KAFA perlu contohi PBNJ - Tan Sri Annuar Musa

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob


Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa tanpa berselindung mengakui Kelantan perlu mencontohi pembangunan drastik yang dilakukan PBNJ bagi memeriahkan Liga Malaysia (Liga M) musim 2014 yang bakal bermula tidak lama lagi.

Annuar berkata, selepas melihat pembangunan yang dilakukan gergasi bola sepak selatan tanah air itu, beliau akan melantik satu firma bagi mewakili KAFA untuk bekerjasama dengan PBNJ sebagai langkah membangunkan sukan bola sepak di negara ini.

Katanya, kedudukannya yang tidak memegang sebarang jawatan termasuk tidak terikat dengan hukuman penggantungan memudahkan urusan untuk mengadakan perbincangan dengan persatuan negeri lain bagi membangunkan bola sepak tanah air .

“Saya berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memperkenankan saya mengadap dan menghabiskan masa yang cukup lama berbincang mengenai bola sepak. Sukacita saya nyatakan sangat mengagumi apa yang sedang diusahakan di Johor. “Kita di Kelantan sudah melakukan banyak usaha tetapi saya berdepan banyak kekurangan.

“Untuk bekerjasama dengan Johor kita mungkin akan mengadakan seminar atau bengkel pengurusan berkaitan pentadbiran sukan. Saya sudah minta satu firma yang terbabit dalam pengurusan sukan untuk bekerjasama dengan PBNJ. Saya akan sembahkan satu kertas kerja kerana banyak negeri punya fasiliti tapi pengurusan tidak begitu baik,” katanya.

Menurut Annuar, melalui perbincangan dengan Tunku Ismail, PBNJ sudah menaik taraf kemudahan Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin sehingga memenuhi spesifikasi antarabangsa sekali gus memberi keselesaan kepada pasukan tuan rumah dan pelawat.

Katanya, perubahan yang dilakukan di Johor perlu dicontohi negeri lain dan bapa pembangunan bola sepak Kelantan itu akan mengadakan perbincangan dengan setiap presiden persatuan bola sepak negeri bagi membangun sukan nombor satu dunia di negara ini.

“Johor mempunyai padang latihan yang memenuhi piawaian dunia. Di Kelantan kita masih tiada padang latihan malah masih menyewa. Padang di Stadium Sultan Muhammad IV itu sendiri tak memenuhi piawaian bola sepak antarabangsa, tetapi di Johor, bilik persalinan, bilik ujian doping dan bilik sidang media cukup selesa malah terbaru, saya difahamkan PBNJ akan memperbaharui keseluruhan Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

“Saya dalam rangka menerima jemputan, namun ada sebahagiannya saya yang minta untuk berjumpa presiden persatuan bola sepak negeri. Banyak juga yang mahu mendengar pandangan saya berhubung pentadbiran pengurusan bola sepak dan mungkin ini salah satu sebab saya meletakkan jawatan supaya bebas dan tidak terikat dengan hukuman yang dikenakan,” katanya.

Johor kembali cuti Jumaat, Sabtu mulai hari ini

JOHOR BAHRU - Hari ini 3 Januari 2014 (Jumaat) merupakan hari pertama negeri Johor memulakan cuti mingguan Jumaat Sabtu sepertimana yang diputuskan sebelum ini.

Pertukaran cuti mingguan tersebut berikutan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahukan cuti mingguan tersebut ditukar dari hari Sabtu Ahad kepada Jumaat Sabtu bagi memberi ruang kepada umat Islam memperbanyakkan amalan pada hari tersebut.

Baginda bertitah, Jumaat adalah penghulu kepada semua hari dan umat Islam perlu mengambil peluang keberkatan hari Jumaat untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut.

“Pada masa kini, kita dapat perhatikan golongan lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat. Waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu berehat dan tidur.

“Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat menunggu imam selesai membaca doa. Kita sedia maklum, di Malaysia ini masih ada beberapa negeri yang mengamalkan cuti pada hari Jumaat malah Johor juga sudah mengamalkannya sebelum ini.

“Oleh yang demikian, selepas menilai banyak pandangan, saya membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 1 Januari 2014,” titah baginda sempena Istiadat Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor Ke-55, di Dewan Jubli Sultan Ibrahim pada 23 November lalu.

Johor pernah menjadikan Jumaat Sabtu sebagai cuti mingguan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun cuti itu ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1994. Selepas 19 tahun mengamalkan cuti mingguan pada Sabtu Ahad, bermula esok, cuti berkenaan kembali semula kepada Jumaat Sabtu.

Antara negeri yang mewartakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.-Bernama

Pihak istana hormati niat bekas Presiden JCorp

1 Januari 2014

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli
JOHOR BAHRU - Jumaah Majlis Diraja Johor menghormati niat tokoh korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim untuk memulangkan semula ketiga-tiga darjah kebesaran negeri Johor baru-baru ini.
   
Setiausahanya, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, keputusan Jumaah itu telah dipersembahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
   
"Jumaah Majlis Diraja menghormati niat mulia Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Muhammad Ali Hashim," katanya di dalam satu kenyataan empat perenggan hari ini.
   
Undang-undang dan peraturan Darjah Mahkota Johor, kata Abdul Rahim, memperuntukkan seorang Datuk Johor boleh berhenti menjadi ahli darjah di atas apa sebab sekalipun dengan memulangkan tanda kebesaran itu kepada Jabatan Menteri Darjah berkenaan.
   
Kenyataan beliau itu merujuk tindakan Muhammad Ali yang juga bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) memulangkan kesemua tiga darjah kebesaran Johor kepada jumaah pada 27 Disember lepas.
    
Tokoh korporat itu pada 28 Disember lepas berkata tindakannya itu adalah berikutan kenyataan Abdul Rahim pada 5 Disember lepas berhubung artikel tulisannya dalam sebuah akhbar tempatan yang disiar pada 2 Disember lalu.
   
Setiausaha Majlis Jumaah Diraja Johor itu telah meminta Muhammad Ali memberikan penjelasan berhubung artikelnya yang bertajuk, 'Menuntut Hak, Menebus Masa Silam'.
   
Darjah kebesaran yang dikembalikan ialah Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang diterima pada 8 April 1996 dan Darjah Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang diterima pada 8 April 1984, kedua-duanya membawa gelaran 'Datuk', serta Darjah Setia Mahkota Johor (SMJ).  - Bernama

Artikel Lain:

Jumaah Majlis Diraja Johor Minta Penjelasan Tan Sri Ali Hashim

Khamis Disember 5, 2013
Abdul Rahim menunjukkan artikel dalam sebuah akhbar tempatan yang 
disiarkan Isnin lepas yang dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif 
terhadap institusi diraja di negeri Johor, pada sidang akhbar, Khamis. 
-foto THE STAR

JOHOR BAHARU: Jumaah Majlis Diraja Johor meminta Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Tan Sri Muhammad Ali Hashim memberi penjelasan berhubung artikel tulisannya 'Menuntut Hak, Menebus Masa Silam'.

Disiarkan sebuah akhbar tempatan Isnin lepas, artikel itu dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja di negeri ini.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata walaupun tidak menyebut sebarang nama, artikel itu boleh disalah tafsir oleh sesetengah pihak deng
an mengaitkannya dengan Sultan Johor.

"Artikel tersebut menyebut nama Tanjung Puteri yang merupakan nama asal Johor Baharu, kita khuatir perkataan 'Sultan' pada ayat terakhir artikel tersebut boleh merujuk kepada Sultan Johor.

"Penulisan atau tuduhan ini menunjukkan satu perbuatan menderhaka kepada Raja, tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan pandangan rakyat terhadap Raja terpesong selain bertentangan dengan prinsip Rukun Negara," katanya pada sidang akhbar di Istana Besar di sini Khamis.

Muhammad Ali memuatkan sajak tulisan anak bongsunya yang antara lain menyebut 'Sultan yang adil adalah Sultan yang wajib disembah, Sultan yang zalim adalah Sultan yang wajib disanggah' dalam kolum 'Khalifah Bisnes' yang disiarkan akhbar itu.

Abdul Rahim berkata pihaknya akan menyerahkan surat rasmi kepada bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Johor Corporation itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Beliau turut menasihati semua individu yang menerima gelaran 'Datuk' daripada Sultan Johor supaya sentiasa mengingati Sumpah Syarie yang dilafazkan ketika menerima darjah kebesaran tersebut.

Antara sumpahnya adalah untuk memperkasakan, meningkatkan dan menyokong kedaulatan Raja, undang-undang, negeri, rakyat dan darjah yang diberi.

Muhammad Ali menerima pingat Dato' Paduka Mahkota Johor pada 8 April 1984 yang membawa gelaran Datuk dan pingat Dato' Sri Paduka Mahkota Johor pada 8 April 1996. - BERNAMA