Social Icons

Sultan Johor Tinjau Mangsa Banjir Di Segamat


SEGAMAT, 5 Dis (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Khamis berkenan berangkat meninjau dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di sekitar daerah ini.

Sultan Ibrahim tiba di pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Pogoh 2, kira-kira pukul 3.40 petang dan beramah mesra serta bertanyakan tahap kesihatan kesemua mangsa.

Keberangkatan baginda yang turut menyampaikan bantuan barangan keperluan dan wang tunai menceriakan 26 keluarga yang berada di pusat pemindahan terbabit sejak empat hari lepas.

Baginda kemudian melawat dan menyampaikan bantuan yang sama kepada mangsa banjir di pusat pemindahan balai raya Kampung Paya Dalam dan balai raya Kampung Batu Badak.

Penghulu Mukim Pogoh Hamzah Abu Bakar ketika ditemui berkata 135 mangsa banjir dari Kampung Pogoh 2 masih ditempatkan di pusat pemindahan itu yang melibatkan 56 lelaki, 46 wanita, 32 kanak-kanak serta seorang bayi.

Beliau berkata kampung berkenaan kerap dilanda banjir, bagaimanapun, keadaan banjir ketika ini beransur pulih.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Azizah Mat Tap, 63, berkata keprihatinan Sultan Johor melawat rakyat yang berdepan dengan musibah membuatkannya berasa terharu.

"Saya amat gembira dengan kunjungan Sultan Ibrahim yang sekurang-kurangnya mengubat sedih dan susah hati kami," katanya yang berharap banjir cepat pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

'Saya akan tidur lena jika tugas saya terlaksana' - Tunku Mahkota Johor


"Apabila kita mencapai kemenangan, saya melihat semua orang bersorak, berpeluk, semua gembira dan saat itu saya berasa saya sudah melaksanakan tugas saya. Itu sudah cukup untuk saya pulang dan tidur dengan lena."

DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim 
Tunku Mahkota Johor
Sept 2013

DYMM Raja Zarith Sofiah bercerita ketika zaman belajar


Ketika abang, kakak dan saya belajar di London, bapa kami akan mengirimkan elaun setiap bulan. Pada awal bulan, saya akan belanja, belanja dan belanja! Saya akan menggunakan elaun tersebut untuk membeli pakaian, buku, majalah dan makan di restoran. 

Tetapi menjelang akhir bulan, elaun saya tinggal sedikit. Ia sama dengan abang dan kakak saya. Oleh itu, kami akan berkongsi apa sahaja dengan wang yang sedikit itu dan membeli makanan di KFC atau Pizza Hut, kerana ianya adalah jauh lebih murah daripada makan di restoran.

Saya bercakap tentang perkara ini kepada salah seorang kenamaan di 'World Hunger Relief Charity Walk' dan beliau amat terkejut: beliau menjangkakan kami menjalani kehidupan mewah sebagai pelajar kerana bapa kami adalah Sultan. Kami tidak. Kami menggunakan pengangkutan awam seperti Tube (keretapi bawah tanah) atau bas. Apabila saya berada di Oxford, saya akan menaiki kereta api atau bas untuk pulang ke London.

Dan oleh kerana itu, saya bimbang akan kehidupan pelajar dan orang-orang miskin juga orang yang tidak mendapat pekerjaan.

DYMM Tuanku Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah 
16 Oktober 2013

'Jangan Buat Silap' - Tunku Mahkota Johor



"Saya ingin menyeru kepada semua penyokong bolasepak Johor supaya terus memberi sokongan padu kepada pasukan kita. Saya juga ingin melihat, mulai malam ini para penyokong Johor tidak lagi buat 'silap-silap'. Jangan beri peluang kepada mana-mana pihak untuk senang-senang sangat saman Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ). Oleh kerana, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) telah memberi banyak sumbangan kepada pembangunan bolasepak di negeri ini, dan wang tersebut boleh kita pergunakan untuk benda yang lebih baik daripada membayar saman-saman."

DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim
Tunku Mahkota Johor / Presiden PBNJ
21 Disember 2013

Titah Ucapan Tunku Mahkota Johor pada Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi NIKE bagi musim 2014 di Stadium Tan Sri Dato' Hj. Hassan Yunos, Larkin.

Cuti mingguan Johor diubah kepada Jumaat dan Sabtu mulai 1 Januari 2014


MUAR 23 Nov. - Cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Januari depan, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda bertitah, hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan keberkatan hari itu hendaklah diambil peluang oleh umat Islam untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut dan disunatkan.

"Jika kita perhatikan pada masa kini, orang lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat, waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu untuk berehat dan tidur.

"Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun dan meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat untuk menunggu imam membaca doa.

"Oleh yang demikian setelah meneliti banyak pandangan, saya telah membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan bagi negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Jan 2014," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Menghadap Takzim dan Majlis Darjah dan Pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Turut berangkat isteri baginda Raja Zarith Sofiah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda baginda yang lain.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Johor pernah menjadikan hari Jumaat sebagai cuti hujung minggu sebelum tahun 1994.

"Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negeri dan sejarah juga telah menunjukkan bahawa pengembangan agama Islam di negeri ini menjadi contoh kepada negara lain," titah baginda.

Oleh yang demikian, baginda menyeru semua umat Islam di negeri ini supaya menjadikan nilai-nilai murni dan sifat terpuji orang Islam sebagai gaya hidup seharian.

Baginda turut menyarankan Majlis Agama Islam Johor supaya menyediakan pusat sumber ilmu agama secara dalam talian sebagai pusat rujukan kepada semua umat Islam bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat yang tepat hanya daripada satu sumber yang boleh dipercayai.

Pusat itu juga boleh dijadikan medium untuk masyarakat mengutarakan segala keraguan dan persoalan agar mereka boleh mendapat jawapan serta nasihat mengikut landasan agama Islam dan selari dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Johor.

Dalam perkembangan lain, baginda turut melahirkan rasa syukur kerana Johor terus berada di dalam keadaan aman, damai dan sentosa dan rakyat dapat hidup dengan sejahtera selain menikmati pembangunan ekonomi yang pesat dan seimbang.

"Pembangunan dan kemajuan ekonomi yang kita peroleh sekarang adalah hasil daripada usaha dan kerjasama erat antara pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin kerajaan persekutuan.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa memberikan bantuan, sokongan dan peruntukan dalam membangunkan kemudahan asas serta infrastruktur am untuk meningkatkan tahap ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di negeri ini," titah baginda.

Baginda juga berharap rakyat di negeri ini akan sentiasa berusaha mengekalkan kesejahteraan hidup yang dinikmati sekarang dengan bersikap sederhana dan bersatu hati bagi mengukuhkan perpaduan kaum dan keharmonian masyarakat. — BERNAMA