Social Icons

Kenangan bersama keluarga diraja Johor

Almarhum Sultan Iskandar ketika menjadi Tunku Mahkota Johor

Pada pertengahan tahun 60an, ketika zaman kanak-kanak bolasepak adalah menjadi permainan kegilaan saya dan rakan-rakan.

Keluarga kami tinggal di sebuah Kampung Melayu berdekatan Jalan Dato’ Dalam, Johor Bahru, di mana saya mempunyai ramai kawan Melayu, Cina dan India yang selalu bermain bersama-sama di padang permainan di Bukit Coombe bersebelahan dengan ‘The Crazy Junction’, seperti yang kita ketahui kawasan tersebut terdapat 1 bulatan yang menghubungkan 5 jalan iaitu Jalan Gereja , Jalan Abdul Rahman Andak, Jalan Gertak Merah, Jalan Md. Noor dan Jalan Abdullah Ibrahim.

Kami mempunyai sebuah pasukan bola sepak, yang dinamakan Masindo Blue Star. Masindo mewakili semua kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Beberapa tahun kemudian, Almarhum Sultan Iskandar yang ketika itu sebagai Tunku Mahkota Johor telah membeli salah satu daripada 3 banglo di Bukit Coombe. (Baginda turut membeli 2 biji banglo selebihnya di tahun-tahun kemudiannya)

Almarhum Sultan Iskandar yang kami panggil sebagai ‘Uncle’ seringkali datang ke padang permainan tersebut membawa anaknya berusia 5 tahun iaitu Tunku Ibrahim Ismail (kini Sultan Ibrahim) untuk melihat kami bermain bola.

Baginda melayan kami dengan baik dan sering membelanja kami aiskrim apabila terlihat penjual aiskrim melalui kawasan tersebut . Baginda juga turut membelikan kami bola serta ‘Ankle Guard’ (kerana kami tidak menggunakan but ketika bermain bola).

Tunku Ibrahim juga  seringkali bermain bersama-sama kami. Kami juga sama-sama menangkap labah-labah dan kadang-kadang ‘curi’ rambutan dan buah mentega di pokok berhampiran padang tersebut.

Di padang tersebut  terdapat satu lubang yang besar, keadaannya tidak rata kerana terdapat dua buah bukit (busut), satu kecil dan satu lagi besar dan terdapat beberapa pokok ditengah padang permainan tersebut.

Satu hari, ‘Uncle’ berjanji kepada kami, jika kami memotong bukit kecil itu, baginda akan menggunakan mesin dan memotong bukit yang besar itu dan pokok-pokok, serta meratakan padang sekali.

Jadi aktiviti permainan di waktu petang terhenti selama seminggu lebih untuk memberi laluan kepada kerja gotong-royong. Kami membawa cangkul dan mencangkul bukit yang kecil dan memasukkannya ke dalam bakul rumi, lalu kami lemparkan sisa tanah bukit tersebut ke dalam lubang yang besar tadi untuk menimbuskannya. Kemudian seperti yang dijanjikan, ‘Uncle’ meratakan padang permainan kami serta memotong pokok yang menghalang ketika kami bermain bola.

Selepas selesai semuanya, kami mempunyai masa yang menyeronokkan untuk bermain bola sepak, sorok-sorok, polis sentri dan juga tidak ketinggalan 'rounders' di sana.


Pesanan Buku Sejarah DiRaja Johor
Whatsapp 019-799-8249

Selalunya jika ada masa terluang, baginda sering menjemput kami ke rumahnya dan menjamu kami makan kadang-kadang daging rusa. Pada masa itu, hanya kami yang dibenarkan datang ke rumah tersebut. Ada diantara kami ‘terpaksa’ (kerana kami kesemuanya lelaki) bermain pondok dan masak-masak dengan anak-anak perempuannya iaitu Tunku Kamariah (7 tahun), Tunku Zabedah (6) dan Tunku Azizah (3).

Dalam pondok kecil tersebut, mereka bermain masak olok-olok (main mak-mak) dan kami terpaksa berpura-pura makan. ‘Uncle’ amat pemurah dan diberikan kami $5.00 setiap seorang sebelum pulang. Nilai wang tersebut cukup besar bagi kami pada masa itu.

Untuk Keluarga Diraja Johor, terima kasih banyak-banyak untuk kenangan ini.

Kepada Almarhum Sultan Iskandar, ‘Uncle’ kami… Al-Fatihah… Semoga Allah swt mencucuri rahmat keatas roh baginda. Terima Kasih kerana melayan saya dan rakan-rakan dengan baik pada zaman kanak-kanak dahulu, kenangan itu sangat indah. Kami tidak akan lupa kenangan manis ini sampai bila-bila.

5 Nov 2013

Putera Sultan Johor ceburi sukan pelayaran

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

TUNKU Jalil mempunyai minat yang mendalam dalam sukan
pelayaran.

SUKAN pelayaran kini bukan sahaja diceburi golongan berada tetapi turut menjadi kegilaan setiap lapisan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

KETIKA Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim berada di Australia, beliau menyaksikan sukan kapal layar didominasi oleh pelayar pelbagai latar belakang tidak kira golongan kaya atau miskin.

Melihat kepada senario unik itu, Tunku Laksamana Johor itu terdetik sesuatu.

Beliau terfikir mengapa tidak suasana serupa berlaku di tanah air sendiri.

"Saya tidak menolak andaian bahawa sukan kapal layar sinonim dengan golongan elit.

"Namun, saya rasa tiada sesuatu yang mustahil jika sukan kapal layar menjadi sukan mesra rakyat seperti sukan bola sepak yang diminati oleh sesiapa sahaja, tidak mengira latar belakang kerana bagi saya di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

"Saya juga berpandangan, jika ada inisiatif dan sokongan daripada pelbagai pihak di negara ini, nescaya sukan kapal layar mampu menjadi antara acara sukan popular di Malaysia," katanya ketika ditemui dalam satu wawancara khas dengan Kosmo! Ahad di Johor Bahru semalam.

Iltizam Tunku Abdul Jalil itu membuktikan beliau seorang yang berpandangan jauh.

Katanya, sebagai seorang pencinta sukan kapal layar, beliau tidak gentar untuk menongkah arus dengan mahu membuktikan sukan pelayaran tidak tertakluk kepada golongan berada semata-mata.

Sebagai detik permulaan, selaku Pengerusi Innovatige Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang hak Piala Monsoon 2013, Tunku Abdul Jalil berkata, beliau bukan setakat membawa pelayar terkemuka datang ke Malaysia.

Malah, turut berganding bahu dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menguruskan program Belia Belayar dan program Liga Layar Malaysia pada tahun ini yang akan diadakan sebelum Piala Monsoon berlangsung.

"Langkah kerajaan untuk menganjurkan Belia Belayar bertepatan dengan hasrat Innovatige untuk memupuk minat dan memberi pendedahan kepada anak-anak muda tempatan untuk menceburi sukan ini.

"Ia juga merupakan satu platform terbaik untuk mengembangkan bakat mereka ke tahap yang lebih tinggi lagi," katanya yang berpengalaman belayar di beberapa buah negara termasuk di Sweden sebelum ini.

Ujar Tunku Abdul Jalil, seperti yang telah diumumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini, program Belia Belayar akan dilaksanakan terlebih dulu di Pulau Duyung pada 19 hingga 21 November ini.

SUKAN pelayaran kini bukan sahaja diceburi golongan berada tetapi turut menjadi kegilaan setiap lapisan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
TUNKU Jalil mempunyai minat yang mendalam dalam sukan pelayaran.

Sejurus selepas itu, beliau berkata, program ini akan digerakkan secara berterusan di seluruh Malaysia termasuk di Johor.

"Kami akan memberikan sokongan kepada usaha kerajaan menjayakan program ini. Kita mempunyai perancangan untuk menjelajah ke sekolah-sekolah rendah, menengah mahu pun kampus untuk mencari bakat baharu dan seterusnya melatih mereka di bawah kendalian jurulatih-jurulatih profesional yang dilantik. KOSMO!

SUK diminta siasat penyebar dokumen rasmi kerajaan di laman sosial

JOHOR BAHRU 14 Nov. - Jumaah Majlis Diraja Johor meminta Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Johor dan pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyebarkan Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tentang usul cuti mingguan diubah kepada Jumaat dan Sabtu yang tersebar menerusi laman sosial Facebook beberapa hari lalu.
Yang Berhormat Dato' Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor 

Setiausahanya, Dato' Abd. Rahim Ramli berkata, pihaknya memandang serius perkara itu memandangkan dokumen rasmi tersebut adalah rahsia dan sulit sekali gus tidak sepatutnya didedahkan kepada pihak tidak berkenaan.

Menurutnya, beliau difahamkan SUK telah memulakan siasatan tentang perkara itu sejak semalam bagi menyiasat pihak yang bertanggungjawab membocorkan dokumen rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tersebut.

“Saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat perkara ini... macam mana kertas majlis mesyuarat boleh dibocorkan sedangkan ia adalah rahsia rasmi. Siapa yang bocorkan? Ia tidak sepatutnya didedahkan.

“Saya difahamkan siasatan telah dimulakan dan sesiapa yang berkenaan akan dikenakan tindakan kerana ia sesuatu yang sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Selama saya memegang jawatan ini, perkara pembocoran ini tidak pernah berlaku dan ia satu kesalahan yang serius,”

Siapa yang bertanggungjawab akan diambil tindakan sewajarnya," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jumaah Majlis Diraja Johor di Istana Besar, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dialamatkan kepada SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri bertarikh 9 Oktober 2013 tentang cadangan tersebut tersebar secara meluas di laman sosial Facebook sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan orang ramai.

Mengulas tentang cuti mingguan tersebut, Abd. Rahim berkata, berdasarkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini, perkara tersebut masih dalam penelitian kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan tersebut, tunggulah (sampai) kerajaan negeri buat keputusan," katanya.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan telah menerima tiga laporan polis berhubung pembocoran dokumen rahsia kerajaan negeri berkenaan.

“Kita telah menerima tiga laporan polis yang dibuat antaranya daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil. Polis sedang menyiasat perkara ini  di bawah Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini menegaskan sebarang keputusan pelaksanaan menukar cuti tertakluk kepada perkenan Sultan Johor.


Lawatan Rasmi Pengiran Muda Mahkota Brunei ke Negeri Johor

KEBERANGKATAN tiba Pengiran Muda Mahkota dan Pengiran Anak Isteri 
berserta anakanda-anakanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor, 
disambut oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku 
Mahkota Johor. (Foto : Samle Haji Jait)
Johor Bahru, 12 November. - Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan  isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Salleh berkenan berangkat bagi meneruskan lawatan rasmi ke Negeri Johor dalam rangka lawatan rasmi lima ke hari ke Malaysia bagi mengukuhkan hubungan dua hala Brunei-Malaysia, di samping meningkatkan kerjasama khususnya dalam bidang ekonomi dan pertahanan.

Keberangkatan tiba Pengiran Muda Mahkota dan Pengiran Anak Isteri berserta putera dan puteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor, disambut oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Juga hadir bagi menyambut keberangkatan itu ialah Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Yang Berbahagia Dato’ Haji Obet bin Tawil, pegawai-pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, ahli-ahli Exco.
Turut mengiringi keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan 
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri ialah anakanda-anakanda DYTM, Yang Teramat 
Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul 
Bolkiah. (Foto: Masri Osman)
Sumber: Pelita Brunei

“FAM perlu belajar daripada kesilapan" - TMJ

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disarankan supaya belajar daripada kesilapan yang berlaku sepanjang tahun ini dan mengelaknya berulang lagi di musim hadapan.

Saranan itu dilontarkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Cadangan itu dibuat untuk membantu dalam usaha meningkatkan mutu permainan bola sepak negara supaya mencapai taraf profesional.

“Cara terbaik ialah FAM perlu belajar daripada kesilapan tersebut dan kemudian mendapatkan idea bagaimana mahu perbaiki (mutu permainan). (Apa yang menjadi) perkara penting ialah jangan angkuh dan bodoh sombong, (FAM) mesti ada telinga, mesti belajar dan terima suara-suara peminat bola sepak negara ini.

“Bagi saya, kenyataan FAM yang kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berdendam, tidak wajar kerana beliau adalah menteri (portfolio sukan) yang muda dan mempunyai visi. Saya melihat beliau menjalankan tanggungjawabnya. Yang mana tidak betul, dia tegur, sama ada dalam sistem jualan tiket, mahupun (yang berkaitan dengan) tahap keselamatan.

“Perkara ini sepatutnya dilakukan FAM sejak lima (atau) enam tahun lalu. Bila ada teguran, baru hendak bertindak satu persatu,” katanya pada sidang media di Istana Bukit Pelangi, di sini, semalam.

Tunku Ismail turut menawarkan diri membantu badan itu untuk melantik pengadil profesional dari luar.

“Saya rasa antara perkara yang boleh diperbaiki ialah (dari segi) mutu pengadilan dan saya boleh membantu untuk mendapatkan khidmat pengadil profesional.

“Niat saya sekadar membantu, tiada niat lain untuk campur tangan agar tahap bola sepak negara berada di kedudukan yang profesional. Jika bajet tidak cukup, kita mulakan dengan pelantikan 50 pengadil,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pembakaran suar ditegah dalam stadium dan PBNJ akan mendidik penyokong untuk mematuhi peraturan itu.

“Saya akan mendidik peminat bola sepak negeri ini untuk tidak membakar suar. Kita mahu penyokong negeri ini menjadi contoh, di mana kita ambil tindakan yang patut bukan sahaja melahirkan persatuan yang profesional, (tetapi) ia termasuk dalam kalangan penyokong.

“Kita akan tingkatkan mutu keselamatan di stadium di negeri ini dan ia menerima respons baik daripada polis dan kita akan tempatkan pengimbas alatan metal serta pengawasan lebih ramai anggota beruniform ketika perlawanan,” katanya. - Sinar

TMJ mahu julang nama negara di peringkat Asia


Tunku Ismail mahu julang nama negara di peringkat Asia musim 2015

Johor Bahru: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam merungkai persoalan berhubung tindakan ‘memancing’ ramai pemain berkualiti menyertai Johor Darul Takzim (JDT) musim depan dengan menegaskan ia lebih terarah untuk memburu slot ke saingan Piala AFC musim 2015. 

Ini bermakna JDT perlu memenangi Liga Super atau Piala FA musim depan seandainya mahu tiket beraksi dalam Piala AFC.

Tunku Ismail berkata, selepas berbincang dengan ketua jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez adalah wajar membariskan pemain yang berkualiti bagi memastikan pemain gantian yang beraksi menggantikan pemain utama setaraf dan bukan sekadar penumpang. 

Katanya, pemain yang sering berada dalam kesebelasan utama pasukan yang pernah disertai tetap disenarai dalam kesebelasan utama JDT memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) cukup kompetitif musim depan dan banyak risiko akan dihadapi terutama kecederaan dan penggantungan perlawanan. 

Bawa nama Malaysia 

“Kita perlu bersedia dengan pemain berkualiti bagi menggantikan pemain utama malah selepas berbincang dengan jurulatih, Jiminez, dia sendiri memaklumkan kepada saya sebagai pemain profesional setiap minit aksi di padang amat berharga dan wajarlah kita ambil pemain terbaik untuk menguatkan pasukan.

“Saya tidak meletakkan sasaran muncul juara ‘treble’ tetapi apa yang disasarkan adalah layak ke Piala AFC bagi memastikan pasukan saya membawa nama Malaysia di saingan kelab-kelab Asia menyerlah dan kekuatan pemain penting bagi mengimbangi pasukan dari Asia,” katanya. 

Baginda berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan pemanas badan antara skuad Harimau Selatan yang menampilkan pemain import Pablo Aimar dan Braulio Nobrega Rodriguez menentang JMF FC di Padang Seri Gelam yang berkesudahan JDT menang 7-1. 

Shahril, Baihakki ke Johor 

Tunku Ismail juga mengesahkan kapten Lions XII, Shahril Ishak sudah menandatangani kontrak dua tahun manakala Baihakki Khaizan menandatangani kontrak empat tahun dan kedua-dua pemain itu akan beraksi bersama Johor pada saingan Liga Perdana. 

“Kapten Bawah 23 Tahun Singapura, Hariss Harun pula akan bersama JDT selama dua tahun,” katanya.

Zaquan Adha ke pasukan Johor

Bekas bintang penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak sah akan kekal di Johor, namun bukan menyarung jersi gergasi Harimau Selatan, Johor Darul Takzim (Johor DT), sebaliknya bakal membawa cabaran Johor dalam Liga Perdana musim depan.

Baginda berkata, Zaquan yang terlepas hampir separuh musim Liga Malaysia 2013 akibat kecederaan telah menyatakan persetujuan untuk beraksi bersama pasukan Johor.

"Zaquan akan beraksi bersama pasukan Johor musim depan, Safee belum membuat sebarang keputusan.

"Dia masih berfikir tetapi saya berharap dia akan buat keputusan dalam tempoh dua tiga hari ini,"

Safee yang sebelum ini dipinjam dari kelab Indonesia, Arema gagal menyerlah bersama pasukan Johor DT sepanjang musim lalu, namun ditawarkan untuk beraksi bersama pasukan Johor musim depan.

Dia masih mempunyai baki kontrak sehingga Februari tahun depan bersama Arema, tetapi kelab Indonesia itu dalam satu kenyataan baru-baru ini memberitahu khidmat Safee tidak lagi diperlukan kerana mereka mempunyai pemain yang mencukupi.

Kesemua pemain JDT dan Johor dijangka akan diperkenalkan secara rasmi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 21 Disember ini.

Hina Sultan Johor dan PDRM, 3 NGO buat laporan polis

JOHOR BAHARU, 8 Nov (Bernama) -- Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor membuat laporan polis berhubung kenyataan menghina Sultan Johor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh seorang lelaki dalam laman sosial Facebook.

Laporan polis itu dibuat oleh Umno cawangan Taman Wawasan, Kelapa Sawit, Persatuan Bekas Tentera Malaysia Kulaijaya dan Persatuan Penggerak Pengguna Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya JUmaat.

Ketua Umno Cawangan Taman Wawasan, Kelapa Sawit Basiron Saimon yang mewakili ketua-ketua Umno Parlimen Kulaijaya meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap lelaki berkenaan.
"Saya membuat laporan polis agar satu siasatan dan tindakan tegas dikenakan kepada individu itu supaya menjadi pengajaran kepada mana-mana individu dari pelbagai bangsa agar tidak mengikut perbuatan seperti ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Pemilik akaun facebook yang didakwa menghina Sultan Johor dan PDRM itu bagaimanapun didapati telah memadamkan akaun laman sosialnya selepas status kenyataannya yang berbaur penghinaan itu tersebar.

Sultan Johor Tarik Balik Gelaran 'Dato' CEO YPJ


JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menarik kembali pengurniaan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Hamsan Saringat berkuatkuasa serta merta.
Dato' Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor
Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor yang juga Menteri Darjah Mahkota Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli berkata, pembatalan darjah dan pingat berkenaan dibuat selepas menerima titah Sultan Ibrahim semalam.

Menurutnya, Hamsan menerima Darjah Kebesaran itu daripada Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada tahun 2005.

“Semalam Sultan Ibrahim bertitah supaya pengurniaan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang diberikan kepada Hamsan ditarik balik dan dibatalkan serta merta.

“Mulai tarikh itu juga, Hamsan kini tidak lagi boleh menggunakan gelaran dato' yang diberikan kepadanya sebelum ini dalam apa juga urusan pada masa depan,” katanya,” pada sidang media di Istana Besar Johor, di sini, semalam.

Meskipun tidak menyatakan alasan penarikan terbabit, Abdul Rahim berkata, keputusan itu dibuat mengikut Fasal 7(2)(f) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 dan Fasal 13 Undang-Undang dan Peraturan Bagi Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia.

Katanya, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895, Sultan Johor mempunyai kuasa mutlak untuk menarik balik sebarang pingat dan gelaran yang diberikan sekiranya penerimanya gagal memenuhi atau menghormati tanggungjawab yang diberikan.

“Kurniaan yang diberikan ini tidak kekal kerana penerimanya perlu mematuhi peraturan kerana tugas individu yang memegang gelaran Dato' Johor ini berat termasuk berperanan dalam melantik waris kepada Sultan Johor.

“Mereka yang dianugerahkan gelaran Dato' Johor ini perlu mengangkat Sumpah Syarie di depan Mufti Johor bagi menjamin kemuliaan darjah kebesaran yang diberikan,” katanya.

Hamsan pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah Pontian dan Batu Pahat pada 2005 hingga 2006, sebelum dilantik sebagai Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) Johor pada 2006.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings Sdn Bhd pada 2011 hingga kini.

Pendaftaran Perkataan Berkaitan Istana Dan Kerajaan Johor

Adalah dengan hormatnya saya merujuk perkara di atas.

2. Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Dan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sebagaimana surat daripada Setiausaha Sulit Kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Bil. (41) dlm. SUSSJ.001-4/11 bertarikh 01 Oktober 2013, dimaklumkan bahawa apa-apa tindakan untuk pendaftaran (syarikat, persatuan, domain dan sebagainya) yang menggunakan perkataan-perkataan yang boleh dikaitkan dengan institusi DiRaja Johor atau Kerajaan Negeri Johor hendaklah dirujuk terlebih dahulu untuk mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri Johor.

3. Antara contoh perkataan-perkataan yang dimaksudkan adalah “DiRaja”, “Tuanku”, “Tunku”, “Johor”, “Sultan”, “Mahkota”, “Istana” dan sebagainya.

4. Tarikh berkuat kuasa mengenai perkara tersebut adalah mulai daripada tarikh surat ini dikeluarkan.

Sekian, terima kasih.
Setiausaha Kerajaan,
Johor