Social Icons

TELOK BELANGAH JAJAHAN JOHOR



SINGAPURA: Kedudukannya di bumi asing, tidak menghalang imam Masjid Temenggong Daeng Ibrahim dekat Telok Belangah di sini, mengekalkan tradisi sejak 167 tahun lalu, membacakan Khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Mufti Johor, lengkap dengan doa untuk Sultan dan rakyat Johor. 

Keadaan itu membuatkan jemaah yang pertama kali menjejak kaki bersolat Jumaat di masjid yang terletak berhampiran kota hiburan Pulau Sentosa, itu pasti tertanya-tanya mengenai pengurusannya yang mempunyai ciri sama dengan masjid lain di Johor.
Berhampiran pintu masuknya, bendera Johor dan Jalur Gemilang berkibar megah pada dua tiang yang didirikan, bukti pengurusan masjid yang dibina sejak 1845 itu hingga kini masih di bawah kelolaan Jabatan Agama Johor (JAJ) menyebabkan khutbah Jumaat dan doa yang disampaikan tertakluk kepada Jabatan Mufti Johor. 

Malah, enam kakitangan tetap masjid membabitkan imam serta bilal, dua noja, penjaga makam serta tukang kebun adalah rakyat Johor yang dihantar bertugas sepenuh masa oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan tinggal di kuarters di situ. 


Masjid terletak atas kawasan seluas 0.7 hektar itu juga menempatkan Makam Diraja Telok Belangah dengan 32 makam kerabat diraja Johor zaman silam termasuk Sultanah Khadijah Khanum, Temenggong Abdul Rahman dan Temenggong Daeng Ibrahim selain mempunyai 2,000 kubur lama. 

Kunjungan ke Masjid Temenggong Daeng Ibrahim pada Jumaat lalu, mendapati hampir 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan dengan khutbah dan doa dibacakan Imam Suhaimi Sulaiman, 24, yang dihantar menyandang jawatan itu sejak November lalu. 

Pengerusi masjid, Mohd Azman Mohsin, berkata kedudukan di Jalan Telok Belangah membuatkan masjid itu dijadikan lokasi persinggahan rakyat Malaysia yang berkunjung atau bekerja di Singapura.

“Setiap kali masuk waktu solat, azan dikumandangkan dan biasanya pada waktu Zuhur dan Maghrib, masjid ini dipenuhi penduduk tempatan. Selain solat Jumaat, masjid ini juga menyediakan kelas pembelajaran al-Quran,” katanya. 

Katanya, sejarah masjid terbabit bermula ketika zaman Kesultanan Johor di Singapura apabila Temenggong Daeng Ibrahim, menyerahkan Balairung Seri istana baginda untuk dijadikan masjid pada 1845. 

“Masjid itu asalnya hanya dikenali sebagai Masjid Kampung Telok Belangah sebelum bertukar nama kepada Masjid Jamek Kerajaan Negeri Johor yang turut dikenali sebagai Masjid Telok Belangah. 

“Selaras peredaran masa, masjid asalnya dirobohkan pada 1993 untuk pembinaan baru dengan kos RM2.5 juta dibiayai sepenuh Almarhum Sultan Iskandar yang menitahkan supaya ciri masjid Johor dikekalkan dalam seni binanya. 

“Masjid baru siap pada 1996 dinamakan Masjid Temenggong Daeng Ibrahim berupaya memuatkan 1,500 jemaah pada satu masa, ” katanya. 

Mohd Azman yang juga Kadi Johor Bahru, berkata mimbar asal masjid berusia 143 tahun dipindahkan ke Johor pada 1991 dan ditempatkan di Galeri Pusat Islam Iskandar di Johor Bahru dengan tiangnya tercatat tarikh mimbar itu disiapkan pada 1289 Hijrah, bersamaan 1868 masihi.


26-04-1984 - SULTAN ISKANDAR MENGANGKAT SUMPAH JAWATAN YDP AGONG KE-8


Sultan Iskandar dari Johor hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan Malaysia.

Seri Paduka melafazkan sumpah jawatan dalam sidang Majlis Raja-raja di Istana Negara di sini dan Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di Pertuan Agong.

Naskah pengisytiharan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu telah dibacakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Hadir di majlis ringkas tetapi bersejarah itu ialah Raja-Raja Melayu, kecuali Pahang dan Johor yang diwakili Pemangku Raja, para Yang Dipertuan Negeri - Pulau Pinang, Melaka dan Sabah, manakala Sarawak diwakili oleh Pemangku Yang Dipertua Negeri.

Istiadat dimulakan kira-kira jam 11 pagi apabila penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Ahmad Zainal Abidin menyembahkan warkah sumpah jawatan.

Yang di-Pertuan Agong yang memakai uniform Askar Timbalan Setia Negeri Johor kemudian melafazkan sumpah dan menandatangani warkah tersebut.

Warkah tersebut kemudiannya dipersembahkan untuk ditandatangani oleh Sultan Kedah dan Sultan Kelantan sebagai saksi.



MENGHADAP
Acara diikuti dengan lafaz ikrar oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga mempengerusikan majlis tersebut.

Perdana Menteri kemudia tampil menyembahkan kepada Seri Paduka surat-surat pengishtiharan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong lalu membacakan setelah ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Majlis bersejarah itu diakhiri dengan bacaan selamat oleh Mufti Wilayah Persekutuan Tan Sri Syeikh Mohsein Haji Salleh. Kemudian diikuti dengan istiadat menghadap di Istana oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

24-04-1893 - SULTAN ABU BAKAR DIANUGERAHKAN BINTANG KEBESARAN OTHMANIYYAH

Sultan Abdul Hamid II (Turki) dan Sultan Abu Bakar (Johor)

Pada hari ini 24 April dalam tahun 1893 Sultan Turki, Sultan Abdul Hamid II telah mengundang Sultan Abu Bakar untuk menjadi tetamu baginda di Istana Yildiz. Keberangkatan Sultan Abu Bakar ke majlis yang turut dihadiri Wazir, Menteri dan para kenamaan menimbulkan rasa kagum mereka kerana dapat bersua dengan seorang pemerintah Melayu yang elok pembawakannya.

“Hingga pada akhirnya lantaslah Yang Maha Mulia (Sultan Johor) berjumpa dengan Yang Maha Mulia Sultan Abdul Hamid II di Konstantinopel (Istanbul). Maka diterimalah oleh baginda dengan sebaik-baik terimaan serta diraikan dengan secukup-cukupnya kerana amatlah gemar Yang Maha Mulia Sultan Turki itu melihatkan seorang raja sebelah timur begitu baik bawaan dan aturannya pada hal beragama Islam.” - Mohd Said Haji Sulaiman.

Pada pertemuan ini Sultan Abu Bakar dan pengiring-pengiring baginda dikurniakan bintang-bintang kebesaran Darjah Utama Khilafah Othmaniyyah iaitu, Bintang Kebesaran Osmanieh kelas 1 diikuti oleh Syed Mohammed Al-Sagoff. Kapten F. De Vere Creighton, ADC Komandan Johor Military Force menerima Pingat Kebesaran Medjidie kelas ke-2, Dr. Nightingale Pingat Kebesaran Osmanieh Kelas ke-3 dan Inche Kassim Setiausaha Sulit Sultan Johor menerima Pingat Kebesaran Medjidie kelas ke-3.

Layanan Sultan Turki amatlah molek. Dititahkannya General Ahmed Ali Pasha dan pasukan pengiring berkuda untuk mengiringi Sultan Abu Bakar sepanjang berada disana.

Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor
sila hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp)

RAMAI SOKONG TUNKU ISMAIL KEMBALI MENERAJUI PBNJ


Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Pic: Ezreen B Abd Talip
Kuala Lumpur: Keputusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk kembali menerajui Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) selepas mengumumkan keputusan meletak jawatan minggu lalu mendapat sambutan baik ramai pihak.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Tunku Ismail membuat keputusan tepat dengan mengubah pendirian demi kebaikan bolasepak tanah air.

“Saya setuju dengan keputusan Tunku Ismail untuk terus memainkan peranan dalam PBNJ ini kerana kita dapat lihat dengan kehadirannya pasukan Johor Darul Takzim (JDT) mempamerkan peningkatan drastik musim ini.

“Jika sebelum ini suasana bolasepak di Johor agak sepi namun perancangan diatur Tunku Ismail kembali mengubah senario itu. Saya berpendapat pengalaman yang beliau lalui ini akan mematangkan dirinya untuk memacu Johor ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Keputusan Tunku Ismail untuk menarik semula keputusan meletak jawatan selaku Presiden PBNJ minggu lalu itu diumum Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah selepas mengadakan pertemuan di Istana Pahang semalam.

Tunku Ismail yang digantung enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM melepaskan jawatan presiden kerana berasa sukar untuk dirinya sebagai Tunku Mahkota Johor terikat dengan undang-undang FAM.

Justeru beliau memilih untuk hanya menjadi penaung PBNJ manakala jawatan Presiden PBNJ disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil.

Sementara itu bagi bekas pemain kebangsaan Khalid Ali, tenaga muda seperti Tunku Ismail amat diperlukan bukan saja bagi pembangunan bola sepak di Johor malah di peringkat kebangsaan.

“Tunku Ismail seorang yang bertanggungjawab, kerana itulah beliau menyuarakan pandangan hingga dikenakan tindakan menerusi Artikel 88. Banyak perubahan beliau lakukan terhadap pasukan Johor, beliau memberi peluang kepada anak muda negeri itu berkecimpung dalam bola sepak.

“Kita memang perlukan individu yang seperti Tunku Ismail dalam persatuan sukan. Saya yakin beliau bukan saja boleh menyumbang di peringkat PBNJ namun mungkin boleh berada dalam FAM satu hari nanti,” katanya.


Tunku Mahkota Johor tarik balik keputusan letak jawatan


KUALA LUMPUR - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik balik keputusan meletak jawatan sebagai PresidenPersatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta merta.

Ini diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada sidang akhbar selepas menerima menghadap Tunku Ismail di Istana Pahang di sini hari ini.

Turut berangkat pada pertemuan hampir sejam itu ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Sultan Ahmad Shah bertitah, keputusan itu diambil Tunku Ismail selepas dipujuk oleh baginda sendiri selain turut mendapat restu Sultan Ibrahim.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T pada hari ini sebagaimana harapan saya telah menjadi kenyataan, bahawasanya Tunku Mahkota Johor akan kembali sebagai
Presiden PBNJ. Jadi saya telah menasihatkan Tunku Ismail supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan bola sepak di Johor," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bagaimanapun bertitah Tunku Ismail tetap akan menjalani
hukuman penggantungan dan denda yang diputuskan Jawatankuasa Tata Tertib FAM sebelum ini.

"Sekali anda memutuskan untuk menjadi anggota persatuan, kita tertakluk kepada undang-undang yang diperuntukkan persatuan itu. Jadi tiada siapa boleh melarikan diri daripada undang-undang yang telah termaktub bertahun-tahun," titah baginda. - Bernama

FAM minta media hati-hati buat laporan Tunku Mahkota Johor


Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta media tempatan supaya berhati-hati ketika membuat laporan berkenaan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor.
FAM dalam satu kenyataan berkata segala laporan mengenai baginda perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Istana Johor selepas menerima arahan sedemikian, semalam. 

Sejak kebelakangan ini FAM mendapati banyak laporan media tempatan yang membawa andaian tidak berasas mengenai isu tertentu dalam bola sepak tempatan. 

“Malahan didapati segelintir akhbar yang sama sering membuat laporan yang berbentuk spekulatif ini. Laporan sedemikian menimbulkan suasana yang tidak sihat dalam bola sepak negara,” menurut kenyataan itu.

Tunku Ismail sebelum ini digantung enam bulan dan didenda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia dan hukuman itu berkuat kuasa sejak 8 Mac lalu.

Rabu lalu, Tunku Ismail memutuskan untuk meletak jawatan selaku Presiden PBNJ kerana mahu menumpukan tugas selaku Tunku Mahkota Johor dan tidak mahu terikat dengan undang-undang FAM.

TUNKU ISMAIL PEJUANG TULEN


Penaung Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim harus disifatkan sebagai pejuang tulen dalam mengangkat semula martabat dan imej bola sepak Johor yang sebelum ini tersisih selepas era kegemilangan pada 1980 hingga 1990-an.

Apa tidaknya, kegigihan Tunku Ismail dalam tempoh singkat sudah terbukti dengan sokongan padu penyokong setia yang membanjiri Stadium Tan Sri Hassan Yunos setiap kali pasukan Liga Super, Johor Darul Takzim (DT) beraksi sehingga mengembalikan semula ‘Sorakan Larkin’ yang digeruni sebelum ini.

Malah, bukan rahsia lagi di kalangan peminat bola sepak tanah air, transformasi yang dirangka dan dilakukan dalam PBNJ menjadikan beliau pemimpin berpotensi untuk diketengahkan dalam mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negara. - BERITA HARIAN


Artikel Lain

FAM minta media hati-hati buat laporan Tunku Mahkota Johor

8-4-2006 - TUNKU ISMAIL DILANTIK RAJA MUDA JOHOR

Pada 30 Jun 2005, sewaktu Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, Almarhum Sultan Iskandar telah mengumumkan bahawa YAM Tunku Ismail dilantik sebagai pewaris takhta kedua Johor bergelar Raja Muda Johor. 


Pada 8 April 2006 DYTM Tunku Ismail telah diisytiharkan secara rasmi sebagai Raja Muda Johor dan dianugerahkan dengan Darjah Kerabat Johor pangkat Kedua. Pengisytiharan tersebut dibuat sempena Hari Keputeraan Almarhum Sultan Iskandar.

MALAM SEDIH BUAT GUIZA DAN DEL NERO

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail menenangkan Guiza - Pic Rizal Abdullah sports247.my


Ia merupakan satu malam yang sedih bagi pemain import  Johor Darul Takzim, Daniel Guiza dan Simone Del Nero untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia.

Walau bagaimanapun, kedua-duanya menyatakan bahawa mereka bersedia untuk kembali jika diberi peluang sekali lagi.

"Peminat di sini adalah berbeza dan mereka membuatkan kami seperti berada di negara sendiri. Kami akan kehilangan mereka dan suasana bola sepak di Stadium Larkin," kata Guiza, yang meninggalkan Johor Darul Takzim sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan lapan gol, enam dalam liga dan dua dalam kempen Piala FA.

"Saya akan kembali ke Sepanyol dan Getafe FC. Saya berasa sedih tidak dapat membantu Johor Darul Takzim menewaskan Selangor, tetapi berharap mereka mampu mencapai keputusan yang positif di Shah Alam," kata Guiza yang membantu negaranya memenangi Euro 2008.

Berkenaan penalti yang terlepas, Guiza berkata: "Saya tidak berada di bawah sebarang tekanan apabila mengambil sepakan itu dan tidak pula saya diganggu oleh pemikiran bahawa ia adalah perlawanan terakhir saya. Ia adalah sepakan biasa saya lakukan tetapi penjaga gol (Selangor) dapat membaca sepakan itu.

Rasa sedih Guiza turut dirasakan Del Nero, yang akan digantikan oleh pemain Brazil Andre Francisco."Saya harap saya boleh tinggal lebih lama. Saya akan sentiasa mendoakan Johor Darul Takzim dan penyokong akan berjaya," katanya.

"Saya ingin menjadi sebahagian daripada pasukan Johor Darul Takzim jika diberi peluang sekali lagi. Ia hanya kerana kecederaan yang saya alami dan terlepas beberapa perlawanan. Saya berterima kasih kepada semua yang mengambil berat sepanjang saya berada di sini. Kenangan ini tidak akan saya lupakan.

Pada akhir perlawanan Guiza dan Del Nero membuat pusingan penghormatan untuk mengucapkan terima kasih kepada penyokong Johor Darul Takzim.

SULTAN PAHANG DUKACITA TUNKU MAHKOTA JOHOR LETAK JAWATAN




KUALA LUMPUR - Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim diminta mengkaji semula keputusannya meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bagi memastikan sukan itu tidak ketandusan pemimpin berkaliber.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (Pafa), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sokongan peminat bakal berkurangan jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus bertindak menjatuhkan hukuman kepada pemimpin sukan yang berkebolehan seperti baginda.

"TMJ adalah seorang pemimpin yang begitu komited dan berbakat bagi meneruskan kelangsungan usaha mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak baik di peringkat negeri Johor mahupun negara," katanya kepada Bernama.

Semalam, Tunku Ismail dalam satu kenyataan media bertitah melepaskan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta selepas mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Sebelum ini, baginda digantung enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak serta didenda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati bersalah mengkritik mutu pengadilan bola sepak tempatan sekali gus melanggar Artikel 88 FAM.

Turut senada dengan Shahidan ialah Penaung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan keputusan TMJ itu boleh merugikan kemajuan bola sepak tanah air.

"TMJ adalah seorang yang gigih...baginda berjaya membawa perubahan besar kepada pasukannya apabila berjaya membawa kembali minat dan kepercayaan peminat bola sepak memenuhi stadium setiap kali berlangsungnya perlawanan melibatkan pasukanya," katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata terdapat banyak peraturan yang tidak wajar digunakan dalam sukan bola sepak terutamanya oleh FAM, sehingga ada sesetengah individu membuat tafsiran masing-masing mengenai peraturan berkenaan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah turut meluahkan rasa dukacita susulan peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) semalam.

Sambil mengharapkan Tunku Ismail mengubah keputusannya, Sultan Ahmad Shah bertitah sejak meneraju PBNJ, TMJ diterima baik peminat bola sepak Johor.

"...saya rasa mereka (peminat dan PBNJ) memerlukannya," titah baginda kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak Asean, di sini semalam. - Bernama

SULTAN JOHOR PERKENAN BUBAR DUN JOHOR


JOHOR BAHRU 5 April - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Pembubaran DUN itu berkuat kuasa semalam.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil berkata, beliau bersama Speaker DUN, Datuk Mohd. Ali Hassan yang mewakili Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman telah menyerahkan watikah perkenan pembubaran kepada Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.


"Semalam saya bersama Speaker telah menghadap Tuanku untuk menyerahkan watikah perkenan pembubaran tersebut, namun ketika itu baginda sedang bersiap untuk berangkat ke Istana Mersing.


"Pagi ini saya dan Speaker telah bertolak ke Istana Mersing dan tiba kira-kira pukul 7.30 pagi untuk mengambil watikah tersebut yang telah mendapat perkenan dan ditandatangani oleh baginda yang berkenan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN

TUNKU MAHKOTA JOHOR LETAK JAWATAN SEBAGAI PRESIDEN PBNJ


Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebentar tadi dikhabarkan membuat keputusan mengejut dengan mengumumkan perletakan jawatan baginda sebagai Presiden PBNJ.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, serta Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

Jelas Tunku Ismail yang sedang dalam tempoh penggantungan enam bulan FAM.

Amat sukar buatnya mentadbir urus PBNJ sebagai presiden kerana sentiasa tertakluk dengan undang-undang dan peraturan FAM.

Justeru baginda kini hanya mahu bertindak selaku penaung dan menamakan Dato' Obet Tawil, Setiausaha Kerajaan Johor sebagai penyandang presiden yang baharu.

Untuk rekod Tunku Ismail dipilih selaku Presiden PBNJ pada 16 Febuari 2012.

Bagaimanapun setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi dari pihak PBNJ berhubung perletekan jawatan Tunku Ismail.

NASIHAT SULTAN JOHOR KEPADA PENYOKONG BOLA SEPAK JOHOR


Sultan Johor Sultan Ibrahim menasihatkan penyokong bola sepak negeri ini supaya menjaga tatatertib dan tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang ketika menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

Baginda bertitah semua penyokong perlu sentiasa mengingati keselamatan semua pihak ketika berada di stadium supaya tidak mencemarkan nama negeri ini.

“Kepada penyokong Johor, jagalah tatatertib ketika menonton. Bersopan santun dan jangan membuat perkara yang boleh mencemarkan nama baik Johor seperti membaling botol, asap dan mercun. Sebaliknya tunjukkan kepada penyokong negeri lain bahawa kita berdisiplin,"

“Tunjukkan kepada peminat bola sepak negeri lain bahawa penyokong Johor berdisiplin. Jagalah nama baik Johor, sekiranya mereka sayangkan sukan ini. Malah mereka juga perlu ingat juga mengenai keselamatan penyokong lain juga,”

SULTAN JOHOR TERIMA MENGADAP GABUNGAN NGO PELBAGAI KAUM


JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke majlis santapan pagi bersama wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini di perkarangan Istana Pasir Pelangi, di sini.

Kira-kira 600 orang mewakili pelbagai kaum dan agama hadir pada majlis itu.

Terdahulu, baginda menerima ucapan daripada wakil NGO yang mewakili kaum Melayu, Cina dan India yang diwakili Ketua Penerangan Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (GABUNG), Abdullah Md Yusof, Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, Lim Ik Kim dan Pengarah Yash Build Construction Sdn Bhd, S Suppayah.

Ucapan menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim itu adalah sebagai penghargaan terhadap baginda yang sentiasa bersikap berjiwa rakyat dan berkenan mengurniakan pingat kepada wakil-wakil NGO di negeri ini.

Dengan diketuai Abdullah, kesemua wakil NGO terbabit kemudian berdiri melafazkan ikrar taat setia kepada Sultan Ibrahim sebagai tanda menyatakan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada baginda.

Mereka kemudian menyerahkan skrol kepada Sultan Ibrahim yang mengandungi 20,000 tandatangan rakyat di negeri ini yang dikumpulkan sejak Jun tahun lalu bagi melambangkan sokongan terhadap baginda.

Sementara itu, Abdullah yang ditemui pemberita berkata majlis santapan itu merupakan jemputan daripada Sultan Ibrahim sendiri yang sekali gus adalah satu penghormatan kepada NGO di negeri ini.

"Majlis seumpama ini jelas mengeratkan hubungan pelbagai kaum dan masyarakat di negeri ini dengan kita mahu buktikan bahawa NGO di negeri ini sentiasa berdiri teguh bersama Sultan Johor. Jadi, adalah silap kalau ada orang mengatakan bahawa rakyat Johor tidak sayangkan tuanku kerana tuanku adalah tunjang negeri ini," katanya.

Suppayah dan Lim pula berkata, masyarakat India dan Cina di negeri ini gembira dengan kepimpinan yang ditunjukkan Sultan Johor dan berharap negeri ini sentiasa aman, makmur serta bertambah maju di bawah naungan baginda.
- BERNAMA

Gambar Ihsan darulehsantoday.blogspot.com