Social Icons

SULTAN TERDAHULU SEBAGAI 'ROLE MODEL'


Apakah sultan-sultan terdahulu manjadi 'role model' dan memainkan peranan dalam kehidupan Tuanku?

Ya. Saya selalu mendengar cerita-cerita tentang Sultan Abu Bakar, dan saya membaca buku-buku berkenaan Sultan Ibrahim. Mereka adalah wira saya. Tetapi masa telah berubah. Itu 80, 60 tahun yang lalu. Masa telah berubah, jadi saya juga perlu berubah dengan masa. 

Sultan Abu Bakar adalah sangat bijak dan digelar "Bapa Johor Moden". Baginda adalah sultan yang sangat kaya pada zaman pemerintahannya. Kemudian diikuti (Sultan) Ibrahim yang dikatakan antara yang terkaya di dunia pada zamannya. Kekayaan mereka bermula dari ladang. Abu Bakar memulakan penanaman gambir dan lada hitam, begitu juga Ibrahim yang memulakan penanaman getah.


SULTAN JOHOR RASMIKAN FESTIVAL LAYANG-LAYANG SEDUNIA 2013


PASIR GUDANG: Lebih 10 ribu pengunjung yang hadir memeriahkan suasana bagi Festival Layang-Layang Sedunia di Pasir Gudang, Johor.


Festival kali ke-18 itu buat pertama kalinya memperkenalkan pertandingan layang-layang peringkat sekolah ‘Asean’ yang menyaksikan 6 buah negara iaitu  Indonesia, Singapura, Brunei, Cambodia, Malaysia dan China.


Festival kemuncak ini mencetuskan keharmonian sejagat melalui perkongsian minat yang sama dari pelbagai bangsa dari seluruh dunia yang berbeza budaya dan bahasanya.


Majlis perasmian disempurnakan oleh DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Mengiringi baginda adalah Tunku Temnggong Johor, YAM Tunku Idris Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima, YAM Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim. Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Seramai 236 peserta daripada 36 buah negara yang terlibat dalam acara menerbangkan layang-layang. Manakala seramai 600 orang peserta tempatan di peringkat negeri, sekolah dan badan-badan korporat.

Turut diadakan adalah persembahan kebudayaan dan persiapan menerbangkan layang-layang oleh pelayang antarabangsa.



KENYATAAN TUNKU MAHKOTA JOHOR AKAN DISIASAT


Kedudukan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) kini dalam bahaya apabila Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan, pihaknya akan menyiasat kenyataan mengenai mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) yang disiarkan akhbar tempatan semalam.

Azzuddin berkata, FAM tidak mengamalkan ‘pilih kasih’ bagi menangani isu terbaru itu dan menegaskan Tunku Ismail tidak akan terlepas daripada tindakan disiplin andai beliau didapati melanggar Artikel 88 statut badan induk bola sepak tanah air itu.

“Mengenai kenyataan Tunku Ismail yang mengkritik mutu pengadilan Liga M, perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM. Tunku Ismail tetap disiasat seperti prosedur biasa dijalankan dalam kes tatatertib.

“Namun, FAM akan meneliti kenyataan Tunku Ismail terlebih dulu sama ada ia berbentuk kritikan atau perhatian kepada FAM,” kata Azzuddin.

Namun, kata beliau apa yang diluahkan oleh Tunku Ismail akan diteliti terlebih dahulu sama ada apa yang diperkatakan adalah satu pandangan berbentuk perhatian atau kritikan.

Dalam sidang media khas di Johor Bahru pada Selasa, Tunku Ismail yang tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan ketika pasukan Johor Darul Takzim (JDT) seri 2-2 dengan LionsXII pada aksi Liga Super menyifatkan mutu pengadilan Liga M lemah, tidak berkualiti dan bertaraf amatur.

Bagi menyokong kenyataannya itu, Tunku Ismail memaklumkan, PBNJ sudah menyerahkan satu salinan video membabitkan JDT dan perlawanan lain kepada FAM untuk menjalankan siasatan.

Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden FAM dan Setiausaha Agung yang boleh membuat kenyataan media dan sekiranya ahli gabungan mahu membuat kenyataan mengenai polisi dan pentadbiran badan induk itu mestilah mendapat kebenaran Kongres terlebih dulu.

Mengulas tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang terus mengecam FAM kerana tidak puas hati dengan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan dan denda RM39,000 kerana melanggar Artikel 88, Azzuddin berkata, Shahidan perlu menghormati keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM itu.

“Peraturan tetap peraturan. Kes ini sudah dibicara Jawatankuasa Tatatertib FAM dan beliau (Shahidan) dihukum seperti yang termaktub dalam peraturan. Tiada sebarang unsur politik mengenai kes ini dan ia keputusan penuh Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM, bukan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Shahidan yang digantung jawatan mendakwa FAM satu entiti yang meloyakan kerana bukan lagi tempat berpersatuan bagi kebaikan bola sepak Malaysia tapi lebih kepada gelanggang untuk menjatuhkan hukuman serta denda.

Kenyataan Tunku Ismail lebih serius: Annuar
Kuala Lumpur: Kritikan terbuka Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) menarik minat Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang menjadi antara mangsa Artikel 88 Peraturan 2010-2014 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menerusi laman sosial facebook miliknya berkata, kenyataan Tunku Ismail itu lebih serius berbanding apa yang beliau serta Datuk Seri Shahidan Kassim utarakan sebelum ini sekali gus mengundang pertanyaan apakah bakal ada tindakan seterusnya daripada FAM ke atas Tunku Ismail.

“Allah menggerakkan hati seorang lagi presiden persatuan bola sepak negeri untuk mengkritik FAM.

“Kalau sebelum ini kenyataan media hanya hal agak kecil seperti prestasi Harimau Malaya dan hal bayaran kepada pasukan negeri tapi kali ini lebih serius dengan dakwaan pengadil FAM tidak bermutu dan bertaraf amatur.

“Ini (bermakna) meletakkan Liga M dalam situasi tidak bermutu, tidak berwibawa serta pengendalian perlawanan yang tidak sempurna.

“Ia satu lagi kenyataan media berprofil tinggi dan dibuat tanpa kebenaran kongres. Apa pula agaknya tindakan Jawatankuasa Disiplin FAM?” katanya.

Tunku Ismail menerusi laporan Arena Metro kelmarin meluahkan rasa tidak puas hati hingga melabel mutu pengadilan negara ini masih di tahap amatur.

Kelmarin juga menyaksikan Shahidan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), digantung dua tahun enam bulan dan denda RM39,000 kerana kesalahannya membuat kenyataan mengkritik FAM.

Artikel Lain:
TUNKU MAHKOTA JOHOR KECEWA DENGAN MUTU PENGADILAN


TUNKU MAHKOTA JOHOR KECEWA DENGAN MUTU PENGADILAN


Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Johor Bahru: Selepas sekian lama berdiam diri akhirnya Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) meluahkan rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang boleh ditakrif masih berada di tahap amatur ketika bola sepak di Malaysia sudah lama di era profesional.

Tunku Ismail nyata kecewa dengan mutu pengadilan yang langsung tidak berkualiti apabila kerap membuat keputusan meragukan, terutama kesalahan yang begitu jelas dilakukan pasukan lawan, bagaikan tidak endah sebaliknya menghukum kesalahan yang dilakukan pemain Johor Darul Takzim.

Katanya, mutu pengadil yang tidak berada di tahap memuaskan bukan saja membabitkan aksi Johor Darul Takzim, malah boleh dikatakan semua pasukan yang bersaing pada kancah Liga M juga kecewa dengan kegagalan pengadil mengawal perlawanan dan sudah tiba masa Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik untuk meningkatkan lagi mutu pengadilan.

"Perkara ini sudah berlaku sejak dari awal musim liga dan kita telah mengharungi tujuh perlawanan, namun perkara sama tetap berulang. Di mana mutu pengadilan sebenar?

"Perkara ini sangat mendukacitakan buat penyokong setia, penaja, para pemain dan saya sendiri sebagai Presiden PBNJ,"

“Saya hormati Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan Timbalan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tetapi apa yang saya ingin persoalkan tindakan lanjut daripada pegawai FAM berhubung mutu pengadilan yang lemah dan saya difahamkan ketika saingan liga berehat selama tiga minggu semua pengadil menjalani kursus namun tiada sebarang peningkatan yang ditunjukkan.

“FAM harus bertindak segera untuk memperbaiki apa jua kelemahan yang membabitkan pengadil dalam saingan Liga M dan harus memastikan semua pengadil yang bertugas pada aksi liga berkualiti.

“Kita sudah buat pelaburan besar bagi memastikan mutu bola sepak di Johor ditingkatkan tetapi usaha itu akan sia-sia seandainya pengadil gagal berfungsi dengan baik yang menjejaskan rentak permainan bukan saja kepada Johor Darul Takzim bahkan membabitkan pasukan lain dalam saingan Liga M,” katanya pada sidang media tergempar di Hotel Thistle, di sini, tengah malam kelmarin.

Bagi mengukuhkan bukti betapa mutu pengadilan masih lemah, Tunku Ismail menegaskan satu salinan rakaman perlawanan membabitkan Johor Darul Takzim dan beberapa pasukan lain akan diserahkan kepada FAM untuk dinilai dan turut disusuli dengan surat rasmi.

“Hargailah keringat pemain yang bertungkus lumus di padang kerana mereka menjalani latihan pada sesi pagi dan petang dan beraksi pada saingan Liga M tapi jika mutu pengadilan tidak berkualiti ia pasti menjejaskan rentak permainan sekali gus menjatuhkan moral pemain itu,” kata Tunku Ismail.

Sementara itu, Tunku Ismail menjelaskan yang baginda sanggup menerima segala kecaman dan hukuman FAM sekiranya apa yang dinyatakannya salah.

"Sekiranya apa yang saya cakap salah, hukum saya, sekurang-kurangnya saya sudah luahkan apa yang selama ini menjadi permasalahan besar.

"Apa yang saya buat ini adalah untuk memastikan mutu pengadilan kita diyakini semua dan saya perjuangkan yang benar, kita sudah bekerja keras, menang atau kalah itu lain cerita.

"Sekarang ini kita jadi mangsa dan ia sesuatu yang sangat mengecewakan sebab kita sudah berusaha untuk meningkatkan mutu bola sepak tetapi tiada orang peduli," katanya.

"Saya hanya nak persoalkan apakah tindakan yang dibuat FAM terhadap pengadil, sebab mereka ini tiada standard sama ada mereka tidak layak atau sebaliknya?"

APABILA TUNKU MAHKOTA JOHOR BERGURAU BERSAMA ADINDANYA

"My little brother wanted a Panda. I told him I can't get him a Panda, but I can turn him into one. He said please do. So this is what happen.. (Laugh)"

"Adik lelaki bongsu saya mahukan seekor panda. Saya memberitahunya saya tidak boleh mendapatkan panda untuk dia, tetapi saya boleh menukarkan dia menjadi seperti panda. Dia berkata, sila lakukan. Jadi ini adalah apa yang berlaku.." (Ketawa)

Tunku Mahkota Johor 24 June 2012

GAYA SULTAN IBRAHIM SEPERTI SULTAN ABU BAKAR


Dari pakaian seragam yang Tuanku kenakan pada istiadat Perlantikan Yang Dipertuan Agong ke-14, ada yang mengatakan Tuanku tidak ubah seperti Almarhum Sultan Sir Abu Bakar. Apakah komen Tuanku?

Itu bukan seragam tentera. Pakaian seragam sahaja yang baru tetapi semua permata adalah lama. Permata ini asalnya adalah milik Almarhum Sultan Abu Bakar. Baginda telah turunkan kepada Sultan Sir Ibrahim dan seterusnya. Kebiasannya hanya dipakai ketika upacara pemahkotaan. Terdapat dua set permata. Saya memakainya kerana saya mahu orang tahu apa yang Johor ada. Ini adalah permata negeri.

.:. Sesetengah pihak telah menyuarakan kritikan bahawa Kesultanan Johor tidak mempunyai pakaian tradisional Melayu sebagai pakaian istiadat. Ini bukan isu, pakaian cuma penampilan fizikal, yang lebih penting Kesultanan Johor bertolak ansur dalam memastikan kebajikan, kemakmuran dan kebahagiaan rakyatnya dalam etika berpakaian.


10-02-1960 - PEMAHKOTAAN SULTAN SIR ISMAIL



Sultan Ismail, 65 dimahkotakan sebagai Sultan Johor ke-3 di Istana Besar di Johor Bahru hari ini. Dimahkotakan bersama baginda adalah Sultanah Aminah.

Ia adalah majlis yang kaya dengan adat istiadat. Mahkota kebesaran negeri Johor yang berusia 74 telah disarungkan di kepala sultan oleh Mufti Johor pada jam 10:20 pagi.

Ia diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das untuk memberitahu kepada rakyat bahawa sultan telah dimahkotakan. Tidak lama selepas itu, sembilan jet pengebom Canberra telah melintas di ruang udara Istana.

Sejurus selepas itu Sultan dan Sultanah dengan mahkota berkelip di bawah sinaran matahari berangkat menaiki kereta untuk upacara perarakan sejauh 3 batu.

Lebih 50,000 orang dan pelajar sekolah berbaris dilaluan melambai tangan sambil melaungkan "Daulat Tuanku" kepada pasangan diraja yang baru dimahkotakan itu.


Buat pertama kali Televisyen digunakan untuk membolehkan tetamu yang berada di luar Istana mengikuti upacara pemahkotaan tersebut. Dua ribu tetamu telah ditempatkan di khemah khas yang didirikan berhampiran tangga Istana. Tetamu lain termasuk ahli-ahli keluarga Diraja, wakil-wakil negara dan raja-raja dan diplomat asing berada di dalam Bilik Singgahsana.


Sejak dari awal pagi Rakyat Johor dan beribu-ribu pelancong berpusu-pusu ke arah Istana yang berusia hampir 100 tahun itu. Ada yang membawa bayi yang masih tidur didakapan ibu mereka turut sama berbaris di sepanjang jalan perarakan. Kesesakan lalu lintas yang berlaku di Jalan Ibrahim yang turut diharungi oleh tetamu rasmi.


Jam 8:15 tetamu VIP bersama isteri mula tiba di Istana. Anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang berpakaian seragam putih istiadat menyambut tetamu dengan memberi tabik hormat diiringi dengan lagu yang dimainkan oleh Pasukan Polis DiRaja.

Adinda sultan, Tunku Temenggong Ahmad tiba dahulu, kemudian anakanda kedua sultan Tunku Bendahara dan seterusnya ketibaan Tunku Mahkota Johor.

Kemudian diikuti tetamu-tetamu VIP Ketua Menteri Melaka, Inche Abdul Ghaffar Baba, Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato Wong Pow Nee, Tengku Bendahara Kedah, Sultan Perak,Raja Idris Shah II, Tengku Sri Utama Raja Trengganu, Tengku Mahkota Kelantan, Pemangku Raja Perlis, Dr Syed Mahmood bin Syed Hussain Jamalullail, Raja Muda Selangor, Tengku Mahkota Pahang dan Wakil Yang diPertuan Negeri Sembilan.

Kemudian ketibaan Sultan Brunei dengan berpakaian baju Melayu Hitam keemasan yang agak menarik, disusuli ketibaan wakil Yang di-Pertuan Agong, Tengku Mustapha.


Pada jam 9.30 pagi motosikal Polis menderum dengan kuat di laluan pantai Lido menandakan ketibaan Sultan dan Sultanah. Pasangan diraja tersebut menaiki Cadillac dengan bumbung terbuka diiringi Polis diraja dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor tiba dari Istana Bukit Serene.

Sultan yang memakai seragam yang bewarna biru gelap seperti yang digunakan oleh Almarhum Sultan Ibrahim dan datuknya, Sultan Abu Bakar pada hari pemahkotaan memukau mata orang ramai. Sultanah memakai baju kurung Johor dipadankan dengan kain sarung, disesuaikan dengan baldu hitam.

Sultan dan Sultanah telah disambut oleh Tunku Mahkota Johor dan Menteri Besar, Dato 'Haji Hassan bin Haji Yunos. Baginda kemudian ke bilik resepsi Istana mereka memakai jubah yang bersulam emas dan selaras dengan satin putih.

Dengan laungan tiga kali diulangi "Dengar", Dato' Penghulu Istiadat, Dato' Rahman Musa mengumumkan permulaan majlis pemahkotaan. Sultan dan Sultanah memasuki Bilik Singgahsana.


Dato Wan Idris bin Ibrahim, maju ke hadapan memberi penghormatan dan meminta izin untuk Menteri Besar memberikan ucapan. Menteri Besar memulakan ucapan dengan melaungkan "Daulat Tuanku" yang bergema di dalam Bilik Singgahsana. Sultan kemudian memberikan persetujuan untuk memulakan majlis pemahkotaan membaca ikrar diraja yang ditulis diatas sutera kuning.

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi mengasihani, kita berikrar dan berjanji bahawa dengan bantuan dan bimbingan daripada Allah yang maha kuasa, kita akan memerintah Negeri Johor dan wilayah ini selaras dengan undang-undang dan mematuhi adat resam yang terkandung dalam undang-undang negeri dan hendaklah memerintah dengan adil dan saksama.

"Kita berikrar dan berjanji dengan penuh takwa bahawa hendaklah melindungi dan mempertahankan agama negeri dan memelihara kehormatan dan maruah Raja dan Kerajaan Johor.

"Kita berdoa moga diberkati Allah."



Sultan Ismail kemudiannya menerima Pedang Kebesaran Negeri yang dihadiahkan kepada ayahandanya oleh Kerajaan Negeri pada tahun 1935 dari Dato' Haji Hassan Yonos.


Dato’ Penghulu Biracana, Dato' Ismail bin Abu Bakar, mengumumkan Mahkota Kebesaran Negeri Johor dibawa masuk.


Kemudian majlis menjadi begitu mendebarkan apabila Mahkota Kebesaran Kerajaan Negeri Johor yang diletakkan diatas bantal berwarna kuning mula dibawa masuk ke dalam Bilik Singgahsana.

Dato' Mufti, Dato' Syed Alwi bin Tahir Al-Hadad dan Ketua Kadi, Tuan Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz mula bergerak ke singgahsana.

Tuan Haji Ismail membacakan "selawat" berkat dan Dato' Syed Alwi mengambil Mahkota Kebesaran dari atas bantal kuning tersebut.


Doa dilaungkan dengan kuat apabila mahkota disarungkan ke kepala sultan disusuli dengan Sultanah.

Sejurus dengan itu. Lagu Bangsa Johor dimain diiringi ledakan tembakan meriam 21 das sebagai penghormatan dan sembilan jet pengebom Canberra telah melintas di ruang udara Istana.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Bendahara Johor dan Tunku Temenggong Ahmad maju ke hadapan dan memberikan penghormatan kepada Sultan.

Sultan dan Sultanah berangkat keluar dari Bilik Singgahsana.





SET KRISTAL DI MUZIUM SULTAN ABU BAKAR

Set kristal ini ditempah oleh Sultan Abu Bakar sewaktu baginda mengadakan lawatan rasmi pertama ke England atas undangan Queen Victoria dalam tahun 1866.

Set kristal buatan tahun 1860an itu telah dibawa pulang ke Johor melalui jalan laut dan mengambil masa berbulan-bulan lamanya sebelum tiba di Istana Besar Johor Bahru dalam tahun 1867.

Set kristal yang disaluti baldu kuning ini diletakkan di ruang utama Istana Besar tetapi jarang digunakan oleh Sultan Abu Bakar dan keluarga baginda.

Apabila Sultan Ibrahim menaiki takhta pada 1895, set kristal ini telah dijadikan sebagai perhiasan. Pada tahun 1981 Sultan Iskandar, cicit Sultan Abu Bakar menghadiahkan set kristal ini kepada Muzium Sultan Abu Bakar.


SULTAN ABU BAKAR TITAH CIPTA LAMBANG NEGERI JOHOR


Sejarah lambang atau Jata Negeri Johor bermula pada zaman pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar (1862-1895).

Kisahnya bermula apabila Sultan Abu Bakar memanggil Leftenen Kolonel Haji Musa bin Yusof dan menitahkannya supaya mencipta sebuah lambang yang sesuai untuk kerajaan Johor.

Ia berdasarkan Lambang Diraja England iaitu sebuah perisai yang disokong oleh dua ekor singa di kiri dan kanannya.

Disebabkan Johor tiada Singa, lalu harimau dijadikan sebagai Lambang Negeri Johor dan terus digunakan hingga ke hari ini.

Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor
sila hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp)

MUZIUM TOKOH SARAT SEJARAH


Bangunan lama bekas kediaman menteri besar Johor kini Muzium Tokoh.
Bangunan Dato' Jaafar di Bukit Senyum, Johor Bahru.
Gambar: http://fuadi.johorphotographer.com

Bagunan Dato' Jaafar di puncak Bukit Senyum Jalan Yahya Al-Dattar di sini, yang kini dijadikan Muzium Tokoh bukan saja kaya dengan sejarah malah memiliki tarikan tersendiri berikutan lokasinya yang strategik serta reka bentuk menarik.


Bangunan yang terletak di tengah bandar raya dan menghadap Selat Tebrau dan Singapura itu dibina pada 1886 sebagai kediaman rasmi menteri besar pertama Johor, Dato' Jaafar Muhammad iaitu bapa kepada Presiden UMNO pertama Dato' Onn Jaafar ketika pemerintahan Sultan Abu Bakar.

Difahamkan, lokasi itu dipilih bagi memudahkan menteri besar meninjau keadaan Johor Bahru berikutan kedudukannya yang tinggi dan boleh melihat hampir keseluruhan bandar raya ini.

Bagaimanapun fungsinya sering berubah mengikut peredaran zaman termasuk dijadikan Maktab Perguruan Bahasa sebelum dipindahkan ke Lembah Pantai, Kuala Lumpur, markas tentera Jepun dan Inggeris, Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Terkini, bangunan itu diserahkan kepada Yayasan Warisan Johor (YWJ) untuk dibangunkan sebagai Muzium Tokoh dua tahun lalu.


Kurator Muzium Tokoh, Noor Ain Bidin berkata, bangunan di tengah raya itu diadaptasikan sebagai Muzium Tokoh, namun belum dibuka secara rasmi kepada orang awam.


Menurutnya, rekabentuk bangunan tersebut menyamai beberapa bangunan lama England seperti Istana Menara Empat, Hardwick Hall dan River Castle, mempunyai empat menara di setiap penjuru selain kubah berbentuk payung dan tangga untuk naik ke ruang atas.


"Bangunan ini warisan tinggalan pemimpin terdahulu, Dato' Jaafar Muhammad selain kediaman rasmi ketika menjadi menteri besar.


"Justeru wajarlah generasi kini memelihara tinggalan sejarah supaya ia bertahan untuk tatapan generasi akan datang.


Biarpun bangunan ini belum dibuka secara rasmi, kebanyakan pengunjung datang kesini teruja bergambar di dalam bangunan dan naik ke tingkat atas, namun kami hanya membenarkan mereka mengunjungi ruang pameran di aras satu dan bergambar di luar," katanya.


ALMARHUM MENITAHKAN PEWARIS RAJA DINAMAKAN TUNKU ISMAIL


Adakah Almarhum menitahkan Tuanku untuk menamakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail?

Saya tidak pernah menamakan mana-mana anak saya. Apabila mereka dilahirkan, saya akan pergi mengadap bapa saya atau hubungi dia.

Seperti Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail masa lahir Almarhum (Sultan Iskandar) masa itu Yang di-Pertuan Agong.

Tunku Mahkota Johor lahir pada hari Hari Raya. Almarhum berada di Kuala Lumpur masa tu, bukan di sini kerana menyambut Hari Raya pertama di Kuala Lumpur dan pada Hari Raya kedua baru balik ke Johor.

Almarhum bertanya kepada saya, "Anak apa kau dapat?" Saya kata, anak lelaki. Almarhum kata: "Syabas, namakan anak kau ISMAIL!"

Masa saya dilahirkan, Sultan Sir Ibrahim masa itu di London. Ayah saya telah bertanya kepada nendanya: "Bolehkah saya menamakan anak saya IBRAHIM?" Ia adalah untuk mendapatkan restu baginda. Itulah sedikit cerita macam mana saya mendapat nama.




SULTAN JOHOR SEBAGAI SULTAN YANG UNIK


Apakah Tuanku merasakan gaya ini membuatkan Tuanku dilihat sebagai seorang Sultan yang unik?

Ini bukan soal gaya. Ini adalah diri saya. Saya tidak boleh menjadi orang lain. Saya masih perlu banyak belajar dari kekanda-kekanda saya yang lain (Raja dan Sultan negeri lain). Cara saya tidak banyak berbeza seperti ayah saya (Almarhum Sultan Iskandar) tetapi pada masa yang sama, kami adalah dua orang yang berbeza.

Pada mulanya saya tidak mempunyai kesabaran seperti dia. Saya mempunyai kecenderungan untuk melakukan sebarang perkara dengan segera. Oleh itu, saya tidak mempunyai kesabaran seperti almarhum.

Saya tegas tetapi pada masa yang sama, lembut dan sangat bertolak ansur. Apa yang anda lihat adalah diri saya. Saya gembira menikmati makanan di gerai dan saya akan berbuat demikian.

Ayah saya mengajar saya untuk memanggil seseorang dengan panggilan hormat. Saya panggil pemandu saya Pak Mail, guru sekolah saya dengan panggilan Tuan dan guru Al-Quran saya Cikgu sehingga kini. Sesiapa sahaja yang lebih tua daripada saya adalah Pak, Wak atau Encik dan kaum wanita pula adalah kakak.

Kerana sesetengah orang segan apabila saya singgah ke gerai mereka dengan tidak disangka-sangka dan akan menyebabkan pelanggan mereka menjadi resah, jadi saya telah mengurangkan aktiviti seperti itu.

Saya masih bersiar-siar dari semasa ke semasa dengan memandu sendiri untuk meninjau keadaan negeri agar sentiasa dalam keadaan baik.

SULTAN JOHOR BERTEMU RAKYAT DENGAN CARA TERSENDIRI


Keluarga Diraja Johor dari dulu lagi mempunyai sejarah sebagai pemerintah yang disayangi oleh rakyat. Bagaimana Tuanku menggambarkan gaya Tuanku sebagai seorang pemerintah?

Saya ingin menjadi seorang sultan yang dikenali kerana cintanya untuk rakyatnya. Dan saya cuba mendengar permasalahan mereka dan cuba untuk menyelesaikannya. Tidak kira siapa mereka, sama ada mereka adalah nelayan, Orang Asli, ahli perniagaan ataupun orang yang mempunyai masalah kesihatan.

Semenjak saya bergelar Tunku Mahkota Johor lagi saya suka singgah di warung atau restoran dimana-mana sahaja untuk makan jika saya terasa lapar. Saya masih teringin melakukan perkara yang sama.

Ketika sedang menikmati hidangan dan saya akan didatangi warga tua yang biasanya saya akan memanggil dengan panggilan Wak atau Pak datang untuk berbual dengan saya. Saya tidak kisah jika orang di warung mahu berbual atau bergambar dengan saya. Ia adalah sesuatu yang baik untuk melihat mereka gembira kerana dapat bersua dengan saya.

Saya memulakan program  Kembara Mahkota Johor (KMJ) kerana berasa ia adalah cara yang terbaik untuk saya bertemu rakyat dalam suasana yang tidak formal. Saya dan keluarga dapat merasa tinggal di rumah kampung semalaman ketika Kembara.

Pada masa yang sama, saya mahu orang tahu bahawa saya tegas dalam beberapa perkara. Jangan cuba untuk menjadi baik atau bercakap manis dengan saya semata-mata untuk mendapatkan penganugerahan.

KOMEN DI BAWAH ENTRY UNTUK KONGSI PENGALAMAN ANDA BERSAMA TUANKU

SULTAN JOHOR BERBICARA BERKENAAN FACEBOOK



Adakah teknologi menyediakan platform bagi rakyat Malaysia untuk menjadi lebih dekat dengan kerabat? Apakah kebaikan dan keburukan? Apakah blog yang Tuanku ikuti?

Saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan teknologi. Malah, kadang-kadang saya juga membaca ruangan gosip. 

Saya tidak ikuti mana-mana blogger, tetapi saya mempunyai akaun Facebook dibawah akaun Ibrahim Ismail. Saya kadang-kadang melakukan pandangan melaluinya, tetapi tidak mengulas. 

Saya layari Facebook kerana ingin tahu bagaimana ia berfungsi. Bagaimanapun bila saya tidak membalas, "kawan" mula berasa bimbang. Sekarang saya mula menerima rakan-rakan, tetapi tidak membalas mesej yang mereka hantar. Mesti ada yang kecil hati, sesetengahnya mungkin tersinggung.

Ya, Internet adalah satu platform untuk rakyat menjadi lebih dekat dengan kerabat. Tetapi adalah mustahil untuk menjawab semua soalan-soalan mereka, perlu ambil masa yang panjang. Dan kadang-kadang melalui komen boleh menjadi salah faham. Adalah lebih baik berjumpa dan bersemuka.

Tetapi saya fikir, membina satu laman web adalah lebih baik. Sebagai contoh, laman web 'British Monarchy' dan 'Prince of Wales'. Laman web ini memberi info berkenaan apa yang kerabat ini lakukan, termasuk di mana mereka pergi, siapa mereka bertemu. Jadi, saya lebih suka untuk mempunyai sesuatu seperti itu di mana rakyat boleh berkongsi dan melihat sendiri apa yang telah saya lakukan dan sedang lakukan.


P/S: KINI ANDA BOLEH KOMEN DI BAWAH ENTRY



150 orang miskin, OKU, warga emas terima kurniaan Sultan Johor

TUNKU Idris Iskandar Sultan Ibrahim (dua dari kiri) menyerahkan bungkusan 

kurnia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Mersing, Johor, baru-baru ini.


MERSING 4 Feb. - Seramai 150 ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, fakir miskin dan anak yatim pelbagai kaum di daerah ini menerima bungkusan kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda baru-baru ini.


Sumbangan tersebut disampaikan oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim. Yang turut hadir Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.


Pegawai Daerah Mersing, Abd. Nasir Salam dalam ucapannya berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung golongan yang memerlukan.


"Bantuan ini juga memberi pengertian mendalam dari segi keharmonian dan kerjasama antara institusi diraja dan kesejahteraan masyarakat Johor khususnya di daerah Mersing," katanya.


Sementara itu, seorang ibu tunggal, Hamidah Abd. Aziz, 52, mengakui bantuan tersebut dapat meringankan bebannya untuk membesarkan anak-anak yang bersekolah dan menampung perbelanjaan seorang anaknya di universiti.


"Alhamdulillah, syukur dengan keikhlasan Tuanku dan keluarga diraja untuk memberikan sumbangan ini kepada kami yang memerlukan. Sebagai rakyat, saya menjunjung kasih dan terharu kerana pihak diraja juga memberi perhatian kepada golongan seperti saya," katanya.


Seorang bapa, Wong Kiong Kwong, 37, yang bekerja sebagai mekanik dan mempunyai seorang anak berusia 10 tahun yang lumpuh turut mengakui bantuan itu menunjukkan keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap rakyat jelata tanpa mengira kaum dan agama.


"Bantuan ini cukup bermakna kepada keluarga saya. Kami berterima kasih kepada institusi diraja yang prihatin dan membantu kami," katanya.


Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai

"INI TITAH TUANKU"


Ada seorang Saudagar Cina yang telah lama bersahabat baik dengan DYMM Tuanku Sultan Johor ingin menghadiahkan sebuah basikal (seperti dalam gambar) kepada DYMM Sultan. Lalu Tuanku menitahkan Si Kamil Hashim (bukan nama sebenar) untuk mengambilnya. Maka Si Kamil pergi berjumpa Saudagar Cina tersebut. Bila Si Kamil berjumpa Cina tersebut beliau lalu berkata "Ini titah Tuanku, Tuanku minta 2 biji basikal."


Tanpa banyak soal Saudagar Cina tersebut memberikan 2 biji basikal oleh kerana Si Kamil Hashim (bukan nama sebenar) telah berkata "INI TITAH TUANKU" 


Tapi apabila sampai di istana, cuma sebiji sahaja yang Tuanku dapat, lagi sebiji Kamil rembat bawa pulang ke rumah.


Moral of story, jangan sesekali mengambil kesempatan diatas kebaikan Tuanku dan menjual nama baginda untuk kepentingan peribadi. Tuanku begitu tidak berkenan kalau ada orang mengambil kesempatan diatas kebaikan baginda. Jika berkesempatan bekerja dengan Tuanku, harap anda tekad berbakti untuk Tuanku dan Negeri Johor. Ingat Rukun Negara di rangkap yang kedua, "Kesetian kepada Raja dan Negara"