Social Icons

Bandar Muar perlu miliki identiti sendiri - Sultan Johor

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar berkenan bertitah mengisytiharkan
Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor
semalam. 
Turut kelihatan Raja Zarith Sofiah, Muhyiddin Yassin, Abdul
Ghani Othman dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - BERNAMA


MUAR 24 Nov. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, bandar Muar perlu mempunyai identiti sendiri bersesuaian dengan gelaran Bandar Maharani Bandar Diraja yang isytiharkan secara rasmi hari ini.

Baginda bertitah, sesuai dengan status itu, bandar ini perlu sentiasa berada dalam keadaan aman damai, indah, sejahtera, bersih dan bebas daripada sebarang sisa buangan dan pencemaran alam sekitar selain bangunan-bangunan lamanya dikekalkan.

"Penduduk di sini hendaklah saling bekerjasama dan bantu membantu sama ada dengan pihak kerajaan atau Majlis Perbandaran Muar (MPM) bagi menjaga bandar, sungai dan alam sekitar.

"Sebagai Bandar Diraja juga, bangunan-bangunan lama yang bersejarah hendaklah diwartakan dan kekal sebagai satu warisan. Kesenian dan kebudayaan setempat juga hendaklah dipamerkan kepada umum sebagai satu tarikan di Bandar Maharani ini," titah baginda pada Majlis Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat Tuanku Raja Zarith Sofiah; bonda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah; puteri dan putera baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Dr. Datin Paduka Jamilah Ariffin dan Exco-exco kerajaan negeri.

Sultan Ibrahim seterusnya meminta rakyat supaya terus mengekalkan hubungan baik antara pelbagai kaum dan agama selain bertolak ansur bagi memastikan negeri ini aman dan sentosa.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, perisytiharan tersebut amat besar ertinya bagi Muar yang mempunyai sejarah panjang dan wujud sejak zaman empayar Funan sekitar (240-627 Masehi), Seri Wijaya Palembang (686-1270 Masehi) dan Majapahit (1293-1364 Masehi).

Katanya, selain mempunyai sejarah yang panjang, Muar adalah sebuah daerah yang unik kerana bandarnya terletak di tepi muara sungai dengan suasana persekitarannya tenang serta nyaman dan tidak banyak bandar di dunia yang mempunyai lokasi sedemikian.

"Oleh itu, wajar sekali setelah 125 tahun, Bandar Maharani dimasyhurkan sebagai Bandar Diraja. Kerajaan yakin seluruh rakyat Johor terutama penduduk Muar akan beroleh manfaat daripadanya.

"Pembanguan kemudahan awam termasuk peningkatan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pelancongan, pembuatan, perhotelan dan sebagainya, sudah pasti dengan sendirinya menjadikan kehidupan rakyat akan bertambah makmur," katanya.

Selepas majlis itu, Sultan Ibrahim menandatangani plak Bandar Maharani Bandar Diraja sebagai simbolik perasmian itu dan menanam kata watikah perisytiharan di Tugu Masa sebelum merasmikan Pertandingan Jet Ski Antarabangsa di pesisiran Sungai Muar.

Upacara, istiadat Kesultanan Johor dihidupkan semula

MAJLIS Letak Kerja Pertabalan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan 
Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja dengan menaikkan bendera 
diraja di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor

MUAR 19 Nov. - Majlis Letak Kerja Pertabalan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang akan disambut lima hari lima malam bermula Rabu ini disempurnakan di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Upacara tersebut dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin sebelum pembacaan perisytiharan oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan diakhiri dengan upacara menaikkan bendera diraja dengan diiringi tiga das tembakan meriam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil; Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Zulkiflee Abbas dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli.

Pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Abu Bakar selepas majlis tersebut, Abdul Rahim berkata, Majlis Letak Kerja-kerja Pertabalan dengan menaikkan bendera diraja dilakukan sebagai simbolik bermulanya kerja-kerja sempena sambutan berkenaan. Upacara itu akan mengulangi kembali sejarah 117 tahun lepas semasa sambutan hari keputeraan nenda baginda, Sultan Abu Bakar pada 1 Mac 1895 yang sebelum itu sejak 1874 dikenali sebagai Hari Kerajaan, juga diadakan di bandar Muar. Biasanya bendera akan dinaikkan tiga atau empat hari sebelum majlis berkenaan berlangsung.

Beliau berkata, upacara tersebut amat istimewa dalam Kesultanan Johor yang sudah tidak dipraktikkan serta tidak terdapat di negeri lain dan kali terakhir diadakan pada 1922 bagi meraikan perkahwinan Tunku Temenggong Ahmad.

"Upacara ini sangat istimewa sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja pada minggu ini, upacara ini dihidupkan semula selepas 90 tahun tidak dilakukan," katanya.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim merupakan seorang yang suka menghidupkan kembali kebudayaan dan istiadat Kesultanan Johor yang telah lama,"

Beliau berkata, selain upacara itu, terdapat beberapa lagi amalan dan adat istiadat Kesultanan Johor yang akan dihidupkan semula sempena sambutan berkenaan terutama pada Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran, Majlis Triman, Majlis Mengadap Takzim dan Majlis Pengurniaan Darjah dan Pingat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada Khamis ini.

"Antaranya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan mengurniakan gelaran yang pernah digunakan pada masa lalu, contohnya Laksamana Bentan kepada salah seorang daripada anakandanya," katanya.

Katanya, bahasa yang digunakan juga adalah bahasa istana mengikut tradisi dan istiadat Kesultanan Johor yang biasa digunakan oleh raja dan kaum kerabat sahaja, tidak boleh digunakan oleh rakyat biasa.

Menurutnya, penduduk Muar amat bertuah kerana daerah itu dipilih untuk sambutan tersebut kerana tidak pernah diraikan di daerah lain apatah lagi dalam satu majlis yang gilang-gemilang seperti yang dijadualkan kali ini.

Sambutan yang bermula Rabu ini dan berakhir Isnin depan dijangka menarik kira-kira 100,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga penduduk negeri lain.

Tunku Aminah ketuai senarai penerima darjah kebesaran negeri Johor


JOHOR BAHARU, 22 Nov — Lima anakanda Sultan Johor mengetuai senarai 404 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke-54 hari ini.

Puteri tunggal baginda Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI).


Turut menerima anugerah DKI ialah putera baginda, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.


Pada istiadat penganugerahan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, tiga individu menerima Darjah Mahkota Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Pengarah Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, Brig.Jen. Effendi Ab Karim, Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Mohd Shariff dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Daing A Malek Daing A Rahaman.


Seramai 16 penerima dianugerahkan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (SMJ) iaitu Pegawai Kewangan Johor, Marsan Kassim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (II) Pengurusan, Norizan Kulob, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Baharu, Burhan Amin.

Turut menerima SMJ ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri(Pembangunan) dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi negeri Elias Hasran, 10 Pegawai Daerah iaitu Ismail Karim (Kota Tinggi), Abdul Karim Abu Bakar (Kluang), Abdul Rahman Mohamed Dewam (Muar).

Abdul Wahab Ridwan (Batu Pahat), Muji Salimon (Pontian), Kamarudin Abdullah (Kulai Jaya), Amran Abdul Rahman (Johor Baharu), Mohd Nasir Abdul Salam (Mersing), Abdul Rahim Nin (Segamat), Ab Han Ramin (Ledang), Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, Chong Chee Han dan Ali Ismail dari Istana Pasir Pelangi.

Seramai 28 orang menerima Pingat Kerana Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), 261 orang menerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PISS II) manakala 91 orang menerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (PISS III). — Bernama

Sultan Johor mahu bangunan lama dikekalkan


MUAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta kerajaan negeri menyediakan pelan pembangunan Bandar Muar yang menyeluruh dengan mengekalkan bangunan yang bersejarah dan memanfaatkan kelebihan Sungai Muar.

Baginda bertitah, Bandar Muar adalah satu kawasan yang kaya dengan kisah sejarah pentadbiran kerajaan dan pembangunan bandar itu yang tersusun bermula pada tahun 1880-an ketika pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.

Titah baginda, sejak diumumkan sebagai Bandar Maharani pada 1887, Muar telah menjadi satu kawasan kegiatan ekonomi utama di negeri ini dan kesan pembangunan itu dapat dilihat dengan banyaknya bangunan lama dan bersejarah di Muar seperti bangunan Sultan Abu Bakar.

"Saya memang kerap datang ke Muar kerana saya suka dengan keadaan dan suasana persekitarannya yang aman dan tenteram serta dilengkapi dengan Sungai Muar yang mengalir tenang.

"Saya dapat merasakan yang Bandar Muar ini mempunyai potensi yang besar untuk menjadi sebuah bandar yang membangun lebih maju," titah baginda pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-54 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini. .

Ia adalah julung kali istiadat itu diadakan di luar Johor Bahru.

Turut berangkat, isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda Sultan Johor.
Baginda menggesa kerajaan negeri supaya memulihara bangunan lama dan bersejarah yang ada di Bandar Muar dan mewartakannya sebagai bangunan warisan.

Sultan Johor turut mengingatkan rakyat di Muar supaya menjaga kebersihan bandar itu dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab tersebut di bahu kerajaan atau pihak majlis perbandaran semata-mata.

Selain itu, baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana negeri Johor mengalami pembangunan yang pesat terutama di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang.

"Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan persekutuan kerana membantu kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan tersebut...Saya berharap supaya kerajaan persekutuan terus bekerjsama dan membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat Johor.

"Mungkin selepas ini kawasan Bandar Muar pula menjadi kawasan pembangunan yang baru dengan mengggunakan kelebihan yang ada pada Sungai Muar," titah baginda.

Dengan pembangunan pesat itu, baginda juga berharap ia akan memberikan peluang pekerjaan yang sangat luas kepada rakyat Johor.

Baginda turut meminta supaya kerajaan memberi keutamaan kepada syarikat tempatan Johor dalam mengagihkan kontrak kerja di negeri ini.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga mengingatkan rakyat supaya bersikap sederhana dan mengukuhkan perpaduan kaum serta keharmonian masyarakat selain mengamalkan sikap tolak ansur kerana ia penting dalam persekitaran hidup bermasyarakat yang berbilang kaum dan agama.

"Jika ada perkara tidak menyenangkan segeralah berbincang dan selesaikan dengan baik. Jika ada perasaan cemburu dan dengki segeralah buangkannya jauh dari diri. Jika ada hubungan yang mula renggang, segeralah berunding dan rapatkan jalinan perpaduan. Ingatlah bahawa muafakat itu berkat," titah baginda.

Sempena hari keputeraan baginda, seramai 404 menerima darjah kebesaran dan pingat dengan puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, mengetuai senarai penerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI). - BERNAMA

Del Nero sertai barisan 'Impian' Johor

DEL NERO (tiga dari kanan) disambut oleh Tunku Ismail (empat dari kanan) sebaik
saja tiba di Johor Bahru 
semalam.
SELEPAS berjaya mengikat bekas pemain kelab La Liga Sepanyol, skuad Johor menambah seorang lagi pemain berbisa kelahiran Carrara, Itali, Simone Del Nero, 31, sekali gus melengkapkan kuota dua pemain import untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan.

Del Nero yang merupakan bekas pemain kelab Serie A Itali, Lazio, mengikat kontrak selama setahun dan lanjutan setahun lagi bersama pasukan Harimau Selatan semalam.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap dengan pendirian baginda untuk tidak mendedahkan nilai kontrak dan gaji pemain import baharu itu.

"Nilainya rahsia, sebelum ini kita berjaya mengikat bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza dan kini Del Nero akan memperkemaskan bahagian tengah skuad Johor," katanya pada sidang akhbar khas menyambut kehadiran Del Nero di Hotel Thistle, Johor Bahru semalam.

Dengan kehadiran Del Nero, Andre Francisco Da Silva yang pada awalnya akan diserap dalam pasukan Johor kembali bersama Johor United musim depan.

Sementara itu, bercakap menerusi jurubahasanya, Del Nero yang kini beraksi secara pinjaman bersama A.C Cesena dalam saingan Serie B Liga Itali berkata: "Saya dimaklumkan (oleh ejen) bahawa saya akan bermain dengan beberapa nama besar dalam arena bola sepak tempatan.

"Ia bukan satu masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan pemain tempatan. Ingin juga saya tegaskan bahawa saya telah mendapat tawaran daripada beberapa kelab Eropah termasuk Itali tetapi saya memilih untuk menyarung jersi Johor.

"Tambahan, bos saya (Tunku Ismail) mempunyai perancangan yang hebat untuk pasukan ini, saya teruja menjadi sebahagian daripada pemain dalam misi memburu kejuaraan."

Menyingkap karier bola sepak Del Nero, beliau mula menjadi pemain profesional ketika bersama kelab Empoli pada musim 1998 hingga 2000.

Dia kemudian berhijrah ke kelab Brescia (2000-2007) dan turut beraksi dengan kelab Livingston pada saingan Liga Divisyen Satu Scotland (2001-2002) secara pinjaman sebelum membuat 22 penampilan bersama Lazio.

Pencapaian terhebatnya ialah apabila berjaya membantu pasukan bawah 21 Itali tahun bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun sama.

Tunku Mahkota Johor jamin tiada tunggakan gaji


Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi jaminan kepada pemain yang mewakili Johor, mereka akan dibayar gaji pada masa yang ditetapkan.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama  pemaindan pegawai selepas majlis menandatangani kontrak perjanjian pemain baru. 
Gambar oleh Roslan Khamis
Baginda bertitah pemain bola sepak ini harus dianggap sebagai atlet profesional dan semestinya dilayan seperti itu. Baginda juga merujuk kepada kes-kes di masa lalu di mana ada pemain yang mengadu bahawa mereka tidak menerima gaji.

Tunku Ismail yang mengambil alih jawatan Presiden PBNJ kira-kira 11 bulan lalu, berkata baginda tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penyalahgunaan dana oleh pegawai-pegawai yang akan meletakkan nama negeri dalam status yang buruk.

Sejak baginda mengambil alih jawatan presiden, PBNJ telah dirombak, dengan memilih pemain dan pegawai yang baru dan nama baru untuk pasukan.


Ini termasuk Johor Football Club (JFC), yang kini akan dikenali sebagai Johor manakala pasukan yang dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak Johor kini adalah Johor United. (Click)

Baginda memesan, ketika pemain bola sepak berada di padang, minda mereka perlu kepada permainan. Mereka tidak perlu bimbang tentang kebajikan mereka.

"Pemain yang mewakili Johor dan Johor United bukan sahaja perlu menumpukan perhatian kepada permainan mereka, tetapi mereka juga mestilah berdisiplin, memberi komitmen penuh dan mengekalkan integriti mereka pada setiap masa.

"Sebagai pemain atau pegawai mereka harus sentiasa ingat bahawa mereka mewakili Johor,”

"Mereka mesti menjaga diri mereka untuk memastikan nama negeri tidak tercemar. Sesiapa yang didapati bersalah kerana rasuah, mereka akan disingkirkan," titah baginda.

Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Shariff, yang juga Ahli Jawatankuasa PBNJ telah diberi arahan untuk memastikan bahawa tidak ada unsur-unsur rasuah dalam permainan.

Baginda mahu pasukan Johor yang juga dikenali sebagai Harimau Selatan untuk mengembalikan kepercayaan peminat mereka dan melonjak ke tahap yang lebih tinggi.

Mercu tanda bandar Muar

(ATAS) Gerbang Mahkota yang dibina pada tahun 1960 di hadapan Pantai Lido 

sempena Kemahkotaan Sultan Ismail.Monumen Mercu Tanda Bandar Diraja
(BAWAH) Menjadikebanggaan penduduk Muar apabila dipilih sebagai Bandar 
Diraja Negeri Johor.


MUAR – Muar bakal memiliki satu monumen mercu tanda Bandar Diraja yang akan menjadi identiti bandar itu apabila diisytiharkan secara rasminya sebagai Bandar Diraja pada 22 November ini, sempena Hari Keputeraan Sultan Johor. (Click)

Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Dewan berkata, pada monumen itu terdapat empat gading gajah yang di atasnya ada kubah masjid dan dilengkapi dengan tulisan ‘Daulat Tuanku’.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini pernah bertitah mengumumkan untuk menjadikan Muar sebagai Bandar Diraja pada sambutan Maulidur Rasul, 5 Februari lalu. (Click)

“Berikutan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah dipertanggungjawabkan untuk membuat reka bentuk monumen ini dan dipersembahkan kepada tuanku.

“Selepas mendapat perkenan tuanku, kerja-kerja pembinaan dilakukan sejak sebulan lalu dan kini sudah siap sebanyak 95 peratus,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Rahman berkata, monumen yang mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada kerajaan negeri itu turut dilengkapi dengan air pancut dan lampu warna-warni yang akan mencantikkan lagi daerah ini pada waktu malam.

“Monumen ini dibina di bulatan Sulaiman berhampiran Jalan Temenggung Ahmad adalah lokasi yang strategik dan boleh dilihat seluruh penduduk daerah Muar.

“Ia pastinya akan menjadi kebanggaan masyarakat Muar kerana telah mempunyai identiti tersendiri iaitu gading gajah berbanding sebelum ini lebih dikenali sebagai Bandar Maharani,” katanya.

Abdul Rahman berkata, keunikan seni bina monumen tersebut dijangka akan menjadi salah satu tarikan pelancongan daerah ini kepada masyarakat luar pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai agar tidak melakukan kerosakan pada monumen mercu tanda ini yang akan berfungsi sepenuhnya tidak lama lagi.

Salah seorang penduduk, Hisham  Ahmad, 30, berkata, sememangnya dia berasa bangga apabila daerah ini mempunyai  monumen tersebut yang menjadikan daerah Muar berbeza berbanding daerah lain.

“Pada mulanya saya tertanya-tanya rupa reka bentuk monumen ini dan apabila melihatnya berasa terkejut kerana ia sangat cantik.

“Sebelum ini, ada rakan-rakan yang datang ke daerah ini sering mengatakan tiada kelainan yang terdapat di sini.  "Jadi dengan adanya monumen mercu tanda Bandar Diraja dapat mempelbagaikan keunikan daerah Muar,” katanya.

Lebih 100,000 sambut Hari Keputeraan Sultan Johor



MUAR 5 Nov. - Lebih 100,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang akan diraikan selama lima hari lima malam di bandar ini bermula 22 November ini.

Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata, sambutan dimulakan pukul 6 petang pada 21 November dengan majlis tahlil dan doa kesyukuran sempena pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini.

Beliau berkata, sambutan sebenar bermula pada 22 November bermula pukul 8 pagi dengan pemeriksaan barisan kehormat dan tabik hormat diraja di Jalan Arab sebelum majlis pengurniaan bintang kebesaran serta pingat berlangsung di Dewan Jubli Intan di sini.

"Ini adalah pertama kali majlis pengurniaan bintang kebesaran dan pingat dilakukan di luar dari Istana Besar, Johor Bahru selepas 125 tahun diadakan di situ. Kemudian diikuti jamuan teh bersama rakyat di Stadium Sultan Ibrahim, di sini (3 petang) dan forum perdana di Masjid Jamek Sultan Ibrahim (9 malam).

"Pada 23 November pula, Sultan Johor akan merasmikan Masjid Al-Ikhsan Batu 18, Air Hitam (9 pagi) sebelum berlangsungnya perarakan kereta berhias (9.30 malam)," katanya di sini baru-baru ini.

Abdul Rahman berkata, lebih 20 kereta berhias akan berarak sejauh empat kilometer bermula dari bandar ini sebelum berakhir di Dataran Tanjung Emas dan orang ramai diminta berada di sepanjang jalan itu untuk menyaksikannya.

Pada 24 November pula diadakan pertandingan bola sepak dan bola jaring di stadium itu serta pertandingan futsal di Pusat Rakan Muda, Tanjung Emas yang bermula serentak (8 pagi) sebelum Majlis Istiadat Sempena Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas (8.30 pagi).

Sambutan diteruskan dengan Cabaran Jet Ski Antarabangsa di pesisiran Sungai Muar (2.30 petang) yang disertai lapan negara, antaranya Singapura, Thailand, Jepun dan Amerika Syarikat sebelum berlangsung Majlis Kurniaan Bungkusan oleh Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah kepada golongan kurang bernasib baik di Dewan Nur, Jalan Junid (3 petang).

Beliau berkata, sambutan pada hari ketiga diakhiri dengan persembahan kebudayaan dan kesenian oleh artis-artis tempatan di stadium dan pada 24 November pula pertandingan jet ski disambung semula (8 pagi).

"Pada masa sama diadakan pertandingan bola sepak, futsal, bola jaring (8 pagi) sebelum acara yang disertai lebih 50 bot berhias berlangsung di tepi sungai Muar (8.30 malam) dan pertunjukan bunga api di Dataran Tanjung Emas (11.30 malam).

"Sambutan tersebut akan berakhir pada 26 November dengan Demonstrasi Sukan Teras Johor dan derma darah yang kedua-duanya berlangsung di Dewan Jubli Intan (9 pagi)," katanya sambil menjemput orang ramai memeriahkan sambutan tersebut.

Parit konkrit selesai masalah banjir - Sultan Ibrahim


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan beramah mesra dengan 
sebahagian mangsa banjir di SK Sungai Suloh, Batu Pahat, Johor, semalam.

BATU PAHAT 6 Nov. - "Buat parit konkrit dan jaga baik-baik".
Demikian titah ringkas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika mencemar duli melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Suloh di sini hari ini.

Sistem saliran di kebanyakan kawasan kampung di daerah ini masih menggunakan parit tradisional tanpa konkrit, yang didakwa menjadi punca banjir kerana ditumbuhi rumput selain masalah pasir dan sampah sarap yang menyebabkannya tersumbat apabila hujan lebat dan air pasang.

Sultan Ibrahim tiba di pusat pemindahan itu kira-kira pukul 12.20 tengah hari dengan kenderaan yang dipandu sendiri oleh baginda.

Baginda bertanya khabar mangsa banjir dan beramah mesra dengan mangsa yang terdiri daripada 52 keluarga.

Baginda turut mencemar duli melawat 278 mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gading dan 311 mangsa di Sekolah Kebangsaan Sri Tiga Serangkai.

Sementara itu, Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab. Wahab Ridwan yang mengiringi Sultan Ibrahim ketika melawat SK Sungai Suloh berkata, pihaknya memang mempunyai perancangan untuk menambah baik sistem saliran termasuk menukarkannya kepada parit konkrit.

"Sesetengah kawasan memang memerlukan parit konkrit ini disebabkan itu kami sedang membuat kertas kerja dan kini dalam proses terakhir. Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberikan kerjasama yang baik dan pandangan Sultan Johor itu tentunya akan diambil kira," katanya.

Ab. Wahab berkata, jika projek itu diluluskan oleh kerajaan negeri, kerja-kerja berkaitan akan dijalankan dengan segera.

Daniel Guiza tiba di Johor



Selepas spekulasi selama seminggu, Tunku Mahkota Johor akhirnya memperkenalkan Daniel Guiza di sidang media di Hotel Thistle, Johor Bahru petang ini.
Penyerang itu tiba di Johor bersama peguam dan ejennya dan dijangka akan menandatangani kontrak dengan Johor 'beberapa jam lagi'. Pemain berusia 32 tahun itu akan dipinjam ke Johor dari Getafe FC untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Perjanjian pinjaman yang akan ditandatangani dengan Johor menjadikan Guiza pemain Sepanyol ketiga beraksi di Malaysia selepas Carlos Rodriguez di Pulau Pinang dan Juan Manuel Rodriguez Olsson dengan Negeri Sembilan - difahamkan juga Guiza akan menjadi pemain termahal di Malaysia.
"Ia memerlukan usaha yang banyak untuk saya datang ke sini dan saya harap ini satu petanda baik," kata Guiza di sidang media petang ini.
"Ini satu keputusan yang besar dan walaupun saya masih menimbang pilihan saya, saya ingin semua pihak tahu kemana saja saya pergi, saya akan bekerja keras untuk menang semuanya," katanya lagi yang turut mendapat tawaran dari Real Zaragoza dan Malaga.
"Saya telah bertukar pendapat dengan pengurus di Getafe dan saya fikir sudah tiba masa saya beralih angin.
"Saya tidak mempunyai masalah dengan cuaca dan saya tidak sabar untuk beraksi," jelasnya.
Tunku Mahkota Johor yang bertanggungjawab dalam memancing juara Eropah dan Dunia itu yakin: "Saya berbangga untuk memiliki pemain seperti Guiza. Beliau masih muda, hanya 32 tahun dan perjalanannya masih jauh."
"Kami bukan hanya 'membeli-belah' untuk pasukan. Sebagai presiden persatuan, ini adalah tanggungjawab saya untuk membina semula legasi bola sepak Johor yang dahulunya lebih menyerlah.
"Seperti yang saya katakan kepada pasukan, saya mahu membina satu sistem yang boleh diikuti oleh generasi akan datang.
"Saya harap perjanjian ini akan diselesaikan secepat mungkin. Wang bukan perkara rumit di sini tetapi perjanjian terma dan syarat yang penting," katanya lagi.
Peguam Guiza juga yakin dan berkata: "Kami akan membuat keputusan dalam beberapa jam lagi."
Guiza akan menyertai Muslim Ahmad, Azmi Muslim, Aidil Zafuan, Zaquan Adha yang telah sah bersama Johor sementara Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya juga dijangka akan menandatangani kontrak dengan Johor dalam masa terdekat.

Johor FA dikenali sebagai Johor United musim depan

Tunku Ismail Sultan Ibrahim merangkap Presiden PBNJ menyerahkan watikah 
perlantikan sebagai pengurus merangkap Ketua Jurulatih Pasukan Johor 
kepada Fandi Ahmad - Foto Bernama

NAMA pasukan Johor FA akan ditukarkan kepada Johor United bagi saingan Liga Perdana 2013.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, penukaran nama berkenaan bertujuan mengelakkan sebarang kekeliruan terhadap nama dua pasukan dari selatan tanah air itu.

“Sekarang ini banyak yang keliru tentang nama Johor FC dan Johor FA. Ditambah pula dengan apa-apa lagi spekulasi.

“Oleh itu, pasukan bola sepak yang bermain untuk Liga Super adalah Johor, manakala di Liga Perdana pula adalah Johor United dan bukannya Johor FA (nama lama).

“Saya berharap tidak ada lagi kekeliruan berhubung perkara ini,” titah baginda semalam.

Mengulas lanjut berhubung penukaran nama berkenaan, Tunku Ismail berkata, perkara itu tidak akan menjadi masalah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana ia merupakan sebahagian daripada keputusan di peringkat negeri.

Tunku Mahkota Johor ingatkan pemain elemen penting capai misi


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim merangkap Presiden Persatuan Bola
Sepak Negeri Johor (PBNJ) menyerahkan watikah perlantikan sebagai pengurus merangkap
Ketua Jurulatih Pasukan Johor kepada Fandi Ahmad pada majlis menandatangani kontrak
pemain pasukan Johor dan Johor United di Bangunan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu semua pemain pasukan Johor dan Johor United memiliki tahap disiplin, dedikasi dan integriti yang tinggi.

Tunku Mahkota Johor itu bertitah tiga elemen itu penting bagi memastikan usaha mencapai misi pasukan yang akan bersaing pada Liga Super dan Liga Perdana tahun depan itu tercapai.

"Dengan mempunyai ketiga-tiga elemen ini, kita akan berjaya mencapai misi kita," titah baginda selepas majlis menandatangani kontrak pemain Liga Super dan Liga Perdana Johor di sini hari ini.

Saingan Johor pada Liga Super akan dibawa oleh pasukan Johor yang dipimpin pengurus merangkap ketua jurulatih, Fandi Ahmad manakala bekas pemain kebangsaan, Ismail Ibrahim dipertanggungjawabkan sebagai jurulatih.

Saingan negeri pada Liga Perdana pula akan dipikul oleh Johor United dengan Onn Jabar dilantik sebagai pengurus manakala ketua jurulatihnya pula adalah bekas pemain Johor, Azmi Mohamed.

Tunku Ismail bertitah PBNJ yakin pertukaran nama pasukan Johor itu akan dibenarkan kerana mereka telah mematuhi segala peraturan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pada musim ini, saingan Johor dalam Liga Super diwakili Johor FC manakala pasukan Johor pula membawa saingan negeri di Liga Perdana.

Baginda juga berjanji pemain Johor dan Johor United tidak akan berdepan masalah seperti gaji atau perkara lain yang sering membelenggu persatuan bola sepak di sesetengah negeri.

"Saya hanya mahu mereka memberi (komitmen) 100 peratus dan menjadi contoh kepada semua pihak," titah baginda sambil memberitahu pemain import Daniel Guiza dari Sepanyol hanya dipinjamkan untuk satu musim daripada pasukan Getafe di Liga Sepanyol.

Bekas pemain skuad kebangsaan Sepanyol itu sebelum ini mendapat tawaran untuk bermain dengan pasukan Real Zaragoza dan Real Mallorca yang kini bersaing di Liga Sepanyol, titah baginda.

"Tetapi beliau memilih pasukan Johor," titah baginda sambil menambah kedudukan Guiza, yang pernah dinobat penjaring terbanyak Liga Sepanyol 2007/2008, dalam pasukan Johor pada musim hadapan bergantung kepada prestasinya.

Sementara itu, Fandi ketika ditemui berkata pasukan Johor masih menaruh harapan besar untuk mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha atau 'Mat Yo'.

"Beliau merupakan pemain yang mempunyai kemampuan teknikal yang menakjubkan.

Kehadirannya dalam pasukan Johor sememangnya akan melonjak prestasi pasukan," kata bekas bintang Singapura itu.

Mengenai persiapan pra-musim pasukan Johor, beliau berkata mereka akan ke Mesir dan Singapura untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan pilihan selain terlibat dalam pertandingan tiga penjuru tempatan.

Bekas pemain skuad Harimau Muda, Muslim Ahmad yang bermain untuk pasukan Terengganu musim lepas, juga merupakan seorang pemain yang menandatangani kontrak untuk beraksi dengan Johor dalam saingan Liga Super musim depan. - Bernama

Johor sambar Pemain Sepanyol

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), mengesahkan akan mendapatkan khidmat bintang bola sepak Sepanyol, Daniel Guiza, 32, yang pernah membantu skuad kebangsaan negara itu menjuarai Euro 2008.
Torres, Güiza dan Fàbregas meraikan kemenangan apabila menjuarai Euro 2008
Daniel Guiza merupakan penjaring terbanyak La Liga musim 2007/2008 iaitu ketika mewakili Mallorca yang kini beraksi bersama Getafe CF dalam saingan La Liga dianggap sebagai aset penting untuk menguatkan lagi jentera serangan Skuad Harimau Selatan bagi menghadapi saingan liga musim akan datang.


Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata Daniel Guiza bersama pengurusnya dijangka tiba di negeri itu esok untuk perbincangan lanjut berkaitan keputusannya beraksi bersama skuad Johor pada musim depan.

“Mengikut pasaran Eropah, Daniel G�iza bernilai kira-kira 1.6 juta euro (RM6.3 juta), bagaimanapun kos sebenar bayaran untuk mendapatkan khidmatnya tidak dapat didedahkan PBNJ. 

“Johor memerlukan pemain berkualiti untuk menjuarai takhta liga, berikutan itu kami sanggup mengeluarkan belanja besar untuk mempersiapkan diri,” titah Tunku Ismail pada sidang media di Istana Bukit Pelangi, petang semalam.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail menyatakan pendirian untuk terus memikat Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Mat Yo yang kini masih berada di dalam genggaman Red Warriors.

Kelantan berkeras untuk tidak melepaskan pemain terbaik final Piala Malaysia itu kerana masih memerlukan khidmatnya bagi memburu kejuaraan musim akan datang.

Khidmat Norshahrul amat diperlukan skuad Harimau Selatan selepas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu yang juga pasangan kembar, Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak serta Azmi Muslim bersetuju berhijrah ke Johor.

Selain itu, pemain Terengganu, Muslim Ahmad dan seorang lagi pemain Kelantan, Nurul Azuan Roya juga bersetuju untuk beraksi bagi menguatkan skuad Harimau Selatan pada musim akan datang.

“Keputusan akhir perpindahan itu bagaimanapun terpulang kepada pemain itu sendiri sama ada untuk bersetuju atau tidak dengan tawaran diberikan.


“Sebelum ini, perbincangan sudah diadakan sejak lima bulan lalu, kita juga sudah menyerahkan surat kepada Norsahahrul untuk perpindahan itu, kini kami tunggu dia untuk menyerahkan surat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa),” titah Tunku Ismail.

PBNJ dikatakan sanggup menebus kontrak Mat Yo yang dianggarkan bernilai RM1 juta bagi memastikan dia dapat beraksi bersama skuad Harimau Selatan.

Tunku Ismail juga bertitah, bekas pemain kebangsaan Singapura, Fandi Ahmad bakal menjadi Ketua Jurulatih dan Pengurus Pasukan dan akan dibantu oleh Ismail Ibrahim manakala Johor FA pula akan dibimbing Azmi Mohamad.

"Kita sedang mencari seorang lagi pemain import bagi menguatkan posisi tengah pasukan.

“Untuk itu, kita akan umumkan siapa pemain itu tidak lama lagi," titah baginda yang mahu mengembalikan kegemilangan Johor dalam arena bola sepak negara.