Social Icons

Tunku Idris bantu 60 fakir miskin sempena Ramadan



Seramai 60 fakir miskin di sekitar bandar raya ini menerima sumbangan barangan keperluan harian dan wang saku daripada Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim bagi meringankan beban mereka sempena Ramadan dan persiapan menjelang Aidilfitri.

Pada majlis di Masjid India Datuk Ahmad Awang di sini semalam, Tunku Idris turut berkenan meluangkan masa bermesra dengan rakyat apabila mengunjungi khemah membuat bubur lambuk di luar pekarangan masjid berkenaan.

Selain itu, Bank Muamalat Malaysia Berhad menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM101,518 kepada Tunku Idris yang mewakili Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Mohd. Redza Shah yang juga Pengerusi Jawatankuasa masjid tersebut berkata, program penyerahan bantuan dan memasak bubur lambuk itu adalah salah satu acara tahunan yang dijalankan pihak pengurusan masjid dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Kebanyakan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras dan wang saku adalah hasil kutipan daripada orang ramai khususnya jemaah masjid ini untuk disalurkan kepada golongan fakir miskin,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Johor untuk membuat bubur lambuk secara gotong-royong sebelum diedarkan kepada orang ramai yang melalui kawasan tersebut.

Minuman Beh hidangan di zaman Sultan Abu Bakar


Minuman beh suatu ketika dahulu, dijadikan sebagai minuman “selamat datang” kepada tetamu yang berkunjung ke Istana Besar Johor semasa zaman pemerintahan Baginda Sultan Abu Bakar. Baginda menginginkan suatu kelainan yang beridentitikan Johor untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke Istana Besar Johor.

Menurut cerita lama orang dapur Istana, minuman beh mula dihidangkan semasa lawatan Duke of Ediburgh ke Johor pada tahun 1869 dan selepas itu minuman beh telah dihidangkan kepada tetamu DiRaja dan menjadi hidangan tetap pada semua jamuan Istana.

Minuman beh dibuat menggunakan teknik pemeraman menggunakan herba rempah terpilih seperti kulit kayu manis, buah pelaga, cengkih, bunga lawang, limau purut, daun pandan dan beberapa rempah lain. Pada ketika itu semua rempah ratus tersebut di tanam di sekitar Istana Besar Johor.

Untuk menyambung kesinambungan dan memelihara minuman warisan ini dan dengan limpah perkenan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, minuman beh kini diusahakan oleh D Heritage Food & Beverages Industries di bawah jenama “Beyh Royale”. 




Usaha memelihara minuman warisan ini diharapkan dapat meneruskan pratik zaman silam menghidangkan minuman beh di semua jamuan Istana, Kerajaan Johor dan malahan untuk dinikmati masyarakat umum Negeri Johor.


Sebarang pertanyaan sila tinggalkan di ruang komen.

Ibu tunggal teruja terima kunci rumah daripada Sultan Johor



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2012

Sultan Ibrahim menyampaikan replika kunci rumah baru kepada
Bechik@Zainab di Kampung Andik Mori, Serkat, kelmarin.
PONTIAN - Seorang ibu tunggal, Bechik@Zainab Salleh, 72, hanya mampu menitiskan air mata kegembiraan apabila memperoleh kunci rumah baru daripada Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, di sini, petang kelmarin.

Zainab yang mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) kehilangan tempat berteduh rumah apabila rumah yang didiami di kampung Andek Mori, Serkat, di sini, musnah terbakar pada Januari lalu.

Rumah baru berharga RM33,000 itu adalah sumbangan peribadi Sultan Ibrahim yang diberikan kepada keluarga berkenaan.

Zainab berkata, dia tidak menyangka akan menerima kunci rumah tersebut daripada baginda Sultan Johor yang turut menziarahi mereka sekeluarga.

Menurutnya, dia bersyukur dan menjunjung kasih di atas pemberian rumah tersebut oleh Sultan Ibrahim kepada keluarganya.

“Saya terharu dan bersyukur dengan kunjungan baginda Sultan Johor. Pertemuan dengan baginda adalah hadiah bermakna sepanjang kehidupan ini,” katanya kepada  Sinar Harian.

Turut mengiringi Sultan Ibrahim ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Kukup, Datuk Md Othman Yusof dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.

Zainab berkata, ketika kejadian kebakaran pada 22 Januari lalu, dia tinggal berdua bersama suaminya, Busu Abdul Rahman, yang sedang uzur, manakala dua anaknya tiada di rumah.

Menurutnya, mujur  anaknya, Abdullah Busu, 39, balik ke rumah untuk makan tengah hari dan sempat menyelamatkan mereka keluar daripada rumah tersebut.

Zainab berkata, suaminya meninggal dunia kira-kira sebulan selepas kejadian kebakaran itu.

Menurutnya, rumah baru berkenaan mempunyai tiga bilik, satu ruang tamu, dapur, bilik air dan dilengkapi dengan bekalan elektrik serta air.

“Ramadan ini lebih ceria dengan rumah baru yang diterima. Saya tidak sabar menanti ketibaan Syawal untuk meraikannya bersama anak dan saudara-mara,” katanya.

'Baba', ku sayang


Tengku Shahrain membantu datuknya menanam 
pokoksambil diperhatikan Tengku Sallehuddin
Kasih sayang Yang di-Pertuan Agong terhadap cucu baginda jelas kelihatan di mana-mana baginda berada bersama mereka dalam lawatan yang di hadiri baginda.

Umpamanya, semasa berkunjung ke Taman Burung Jurong selepas merasmikan tempat pameran sejenis kumpulan burung dari Papua New Guinea, baginda sempat mencubit pipi cucu kesayangan baginda, Tengku Shahrain sebelum
memasuki kereta. 

Cucu baginda, Tengku Shahrain
menunggu di pintu istana
Kedua-dua cucu baginda kelihatan manja dengan datuk mereka. Ketika Yang di-Pertuan Agong menanam pokok tembusu di Jurong Town Hall, mereka tidak teragak-agak sibuk sama untuk menolong datuk mereka menimbus tanah.

Mereka berdua mengakui suka berkunjung ke Istana Johor bukan saja kerana datuk mereka berada disana, tetapi kerana mereka suka dengan binatang-binatang yang terdapat di perkarangan istana itu seperti rusa, lembu dan anak kuda.

Turut bersama mereka, tetapi tidak tidak turut serta dalam acara lawatan ialah dua orang lagi cucu Yang di-Pertuan Agong, Tunku Ismail Idris putera kepada anak lelaki sulung baginda dan adiknya yang berusia dua tahun, Tunku Aminah Maimunah.



Puteri baginda, Tunku Besar Zabedah dan 
Tunku Mariam Zaharah turut berangkat 
bersama menyertai lawatan.
Ditanya tentang apa yang mereka paling suka mengenai datuk mereka, Tengku Sallehuddin menjawab,"Baba selalu belikan mainan." 'Baba' ialah panggilan manja kanak-kanak itu terhadap datuk mereka.

Ibu-ibu saudara mereka, Tunku Besar Zabedah dan Tunku Mariam Zahrah berkata, ayah mereka selalu membelikan mainan untuk cucunya jika baginda ke luar negeri.

Lapan Banduan Yang Dapat Pengampunan Sultan Johor Dibebaskan Pagi Tadi Sempena Ramadan



KAJANG – “Saya tak dapat bayangkan macam mana besarnya cabaran selepas dibebaskan ini, maklumlah dekat 30 tahun terkurung dalam penjara, tetapi saya bersyukur sangat-sangat kepada Allah dan berterima kasih sungguh kepada Sultan Johor di atas pengampunan ini”.

Hanya itu yang mampu dilafazkan Mel (bukan nama sebenar), 58, salah seorang daripada lapan orang banduan yang dibebaskan setelah mendapat pengampunan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim sempena bulan Ramadan pagi tadi.

Mel ditangkap setelah terlibat dalam kes senjata api dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hayat sejak tahun 1982 lagi.

Sejak itu, Mel sudah beberapa kali membuat rayuan untuk dibebaskan namun semuanya hampa.

Namun kira-kira tiga bulan lepas, dia mendapat khabar gembira yang dia akan dibebaskan daripada menjalani hukuman tersebut.

” Nak tahu lama tak lama saya kat penjara…waktu saya masuk ke ‘dalam’, stesen televisyen TV3 pun tak wujud lagi,” katanya sambil tersenyum.

Begitupun Mel beruntung kerana walaupun sebegitu lama bergelar banduan, tetapi dia langsung tidak pernah dipinggirkan oleh keluarganya.

Malah sewaktu pembebasannya pagi tadi, ramai ahli keluarganya yang hadir menyebabkan suasana menjadi pilu seketika apabila kesemuanya memeluk erat Mel yang segak berbaju Melayu serta lengkap bersampin.

Turut hadir sewaktu pembebasan tersebut adalah Timbalan Pengarah Penjara Kajang, Adnan Atan dan Ketua Unit Perhubungan Awam Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Supri Hashim.

Namun perasaan gembira bercampur hiba menyelubungi Pak Din (bukan nama sebenar) apabila dia hanya mampu menitiskan airmata kerana tiada ahli keluarga yang datang menyambut pembebasannya itu.

” Saya orang Indonesia, keluarga saya jauh…kali terakhir mereka melawat saya pun kira-kira 15 tahun lepas, tidak mengapalah, saya tak mahu menyusahkan sesiapa.

” Namun saya bersyukur kerana walaupun saya bukan orang Malaysia, tetapi Sultan Ibrahim masih sudi untuk memberi pengampunan kepada saya, ini menunjukkan Tuanku tidak pernah membeza-bezakan kami para banduan yang ditahan di sini,” katanya sambil menitiskan airmata terharu.

Baru-baru ini Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan penuh dan perintah pembebasan terhadap lapan orang banduan.

Sultan Ibrahim turut berkenan meringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara terhadap empat banduan dan memberi pengampunan kepada seorang lelaki yang disabitkan kesalahan ketika berumur 18 tahun pada 1985 untuk membersihkan namanya daripada rekod sabitan kesalahan.

Pada 19 Januari lalu, Sultan Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor.

Atas nasihat daripada anggota Lembaga Pengampunan Negeri Johor, Peguam Negara dan mempertimbang semua aspek seperti kesalahan banduan, tempoh hukuman yang dijalani serta pemulihan yang dicapai oleh banduan, maka Sultan Ibrahim dengan limpah kurnia dan perkenannya telah mempertimbangkan pembebasan dan meringankan hukuman kesemua banduan yang terlibat

Lembaga Pengampunan Negeri Johor itu dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail serta tiga anggota lembaga pengampunan iaitu Datuk Law Boon King, Datuk Rashidi Mohd Noor dan Datuk Dr M.Harjit Singh.


Daripada lapan banduan yang akan dibebaskan pada 1 Ramadan itu, seorang daripadanya, Sapuan Hanin, 58, adalah banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 manakala tujuh yang lain yang berumur 41 hingga 63 tahun, adalah banduan di bawah kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Sapuan telah menjalani hukuman 24 tahun penjara sejak 1987 atas kesalahan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

Tujuh yang lain pula, katanya, dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat dan telah menjalani hukuman penjara antara 22 dan 37 tahun serta dikenakan antara enam dan 10 sebatan atas kesalahan rompakan dan memiliki senjata api.

Empat banduan yang diringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara pula adalah banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 iaitu yang terlibat dengan kes pengedaran dadah dan bunuh.

Tiga daripada mereka yang berumur 36 hingga 41 tahun dan telah menjalani hukuman penjara antara lapan dan 14 tahun, diperkenan diringankan hukuman penjara sepanjang hayat (tiada tarikh bebas) manakala seorang lagi yang berumur 57 tahun, yang telah menjalani hukuman 16 tahun penjara, diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup (20 tahun),” katanya.

Keseluruhannya sebanyak 32 kes rayuan telah disemak oleh Lembaga Pengampunan Negeri Johor, namun hanya 13 kes yang mendapat pengampunan daripada Sultan Ibrahim.

INSAF... Shamsuddin bersama Mohd. Ali (tengah) dan Sapuan (kanan) memanjatkan
doa kesyukuran di hadapan Penjara Kluang, Johor selepas dibebaskan semalam.

Sultan Ibrahim cadang kerajaan Johor kumpul sejarah Askar Timbalan Setia




JOHOR BARU, 19 Julai — Sultan Johor, Sultan Ibrahim mencadangkan kepada kerajaan negeri Johor supaya berusaha mengumpul dan mengemaskini bahan penulisan berkaitan sejarah Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Bertitah pada istiadat perbarisan tamat latihan rekrut askar Timbalan Setia Negeri Johor di sini hari ini, baginda yang juga Komandan pasukan berkenaan turut berharap sebuah Muzium Askar Timbalan Setia Negeri Johor dapat diwujudkan.

“Saya mencadangkan kerajaan negeri terus berusaha mengumpul bahan penulisan dan sejarah pasukan supaya segala pengorbanan dan penglibatan pasukan ini pada masa silam dapat dikongsi bersama masyarakat.

“Sebuah muzium Askar Timbalan Setia Negeri Johor juga harus diwujudkan agar dapat dimanfaatkan oleh rakyat dan para pelancong yang datang ke negeri ini,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang diasaskan sejak 126 tahun lalu melakar sejarah hari ini apabila seramai 61 orang anak Melayu Johor menamatkan latihan mereka dengan penuh adat istiadat perbarisan ketenteraan yang julung kali diadakan sejak 1947.

Baginda turut berharap kerajaan negeri dan persekutuan memberi sokongan sewajarnya terhadap rancangan pembesaran pasukan berkenaan memandangkan pertambahan seramai 61 orang lagi anggota itu masih belum mencukupi.

“Keperluan peralatan dan infrastruktur sokongan juga perlu dipertimbangkan supaya pasukan ini dapat menjalankan peranan dan tugasnya dengan berkesan semasa aman mahupun perang.

“Saya juga menyeru pihak kerajaan memperkemaskan semula organisasi, peranan dan tugas serta undang-undang pasukan ini supaya pasukan ini terus kekal relevan menjadi satu pasukan yang dibanggakan oleh negeri Johor,” titah baginda.

Sultan Ibrahim dalam pada itu melahirkan terima kasih baginda kepada kerajaan dalam usaha menggubal Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Timbalan Setia Negeri Johor dan pindaan Johor Military Forces Enactment 1915 (Enakmen Nombor 13) yang telah mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini.

Baginda turut berterima kasih kepada ibu bapa yang memberikan kebenaran untuk anak-anak mereka menyertai pasukan berkenaan dan menasihatkan kesemua rekrut yang memulakan latihan sejak 16 Januari lepas supaya sentiasa menjaga nama baik pasukan dan disiplin ketenteraan.

Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim turut menyampaikan hadiah kepada rekrut keseluruhan terbaik, R. Raffie Ramzee Abdul Rheman, 24, Muhammad Nor Helmi Mohd Amin, 20, (kawad kaki terbaik), Mohamad Hafis Amran, 23, (penembak terbaik) dan Muhamad Faiz Mazlan, 20, (akademik terbaik)

Sultan Johor berkenan bebas, ringankan hukuman banduan


D.Y.M.M Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
NUSAJAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan penuh dan perintah pembebasan terhadap lapan orang banduan, Sabtu ini. 

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Obet Tawil berkata Sultan Ibrahim turut berkenan meringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara terhadap empat banduan dan memberi pengampunan kepada seorang lelaki yang disabitkan kesalahan ketika berumur 18 tahun pada 1985 untuk membersihkan namanya daripada rekod sabitan kesalahan. "Sultan Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 19 Januari lalu.

"Atas nasihat daripada anggota Lembaga Pengampunan Negeri Johor, Peguam Negara dan mempertimbang semua aspek seperti kesalahan banduan, tempoh hukuman yang dijalani serta pemulihan yang dicapai oleh banduan, maka Sultan Ibrahim dengan limpah kurnia dan perkenannya telah mempertimbangkan pembebasan dan meringankan hukuman kesemua banduan yang terlibat," katanya kepada pemberita, di Kota Iskandar, di sini.

Beliau berkata mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor itu dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail serta tiga anggota lembaga pengampunan iaitu Datuk Law Boon King, Datuk Rashidi Mohd Noor dan Datuk Dr M.Harjit Singh.

Obet berkata daripada lapan banduan yang akan dibebaskan pada 1 Ramadan itu, seorang daripadanya, Sapuan Hanin, 58, adalah banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 manakala tujuh yang lain yang berumur 41 hingga 63 tahun, adalah banduan di bawah kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Beliau berkata Sapuan telah menjalani hukuman 24 tahun penjara sejak 1987 atas kesalahan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.
Tujuh yang lain pula, katanya, dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat dan telah menjalani hukuman penjara antara 22 dan 37 tahun serta dikenakan antara enam dan 10 sebatan atas kesalahan rompakan dan memiliki senjata api.

Katanya empat banduan yang diringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara pula adalah banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 iaitu yang terlibat dengan kes pengedaran dadah dan bunuh.

"Tiga daripada mereka yang berumur 36 hingga 41 tahun dan telah menjalani hukuman penjara antara lapan dan 14 tahun, diperkenan diringankan hukuman penjara sepanjang hayat (tiada tarikh bebas) manakala seorang lagi yang berumur 57 tahun, yang telah menjalani hukuman 16 tahun penjara, diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup (20 tahun)," katanya.

Obet berkata, keseluruhannya sebanyak 32 kes rayuan telah disemak oleh Lembaga Pengampunan Negeri Johor, namun hanya 13 kes yang mendapat pengampunan daripada Sultan Ibrahim.

Beliau berkata lapan banduan yang dibebaskan itu diharap dapat menggunakan peluang kedua untuk memanfaatkan diri, keluarga dan masyarakat dengan membuktikan mereka benar-benar insaf manakala banduan yang diringankan daripada hukuman gantung kepada hukuman penjara hendaklah menggunakan peluang itu bagi pemulihan dan pembangunan diri. - BERNAMA

Uncle Seekers dibebas dengan jaminan polis

Uncle Seekers

JOHOR BAHRU: Pengkaji aktiviti paranormal, Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas, atau popular dengan panggilan Uncle Seekers, dibebaskan dengan jaminan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Mohd Akhir Ishak yang mengesahkan perkara itu, berkata Syed Abdullah, 46, dibebaskan pada jam 12.55 tengah hari. Pengkaji aktiviti paranormal itu ditahan kira-kira jam 7 malam pada 11 Julai lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 34 tahun di IPD Nusajaya pada 4 Julai.

Dia kemudian direman selama tiga hari dengan perintah daripada Mahkamah Majistret di sini.

Sebelum itu, Syed Abdullah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana tulisan dalam blog miliknya www.uncleseekers.blogspot.com didakwa memfitnah Sultan Johor.

Mohd Akhir berkata, kertas siasatan terhadap Syed Abdullah berkaitan kes mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 telahpun diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan sedang menunggu tindakan susulan daripada mahkamah.

Polis juga, katanya masih menunggu keputusan ujian air kencing Syed Abdullah bagi kesalahan mengambil dadah.

Teman wanita Syed Abdullah yang sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan dan dua lelaki berusia 23 serta 24 tahun yang merupakan kenalannya yang ditangkap di Tanjung Kling, Melaka pada 9 Julai lalu, turut dibebaskan.

Bekas pengurus peribadi Syed Abdullah dan teman wanitanya yang berusia 27 tahun pula direman sehingga hari ini. - BERNAMA

Pingat: 'Jangan Sesiapa Cuba Lobi Saya' - Sultan Johor


14 April 2012

KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada malam Sabtu bertitah pengurniaan pingat dan darjah kebesaran negeri itu adalah kuasa mutlak raja yang memerintah . Baginda bertitah pada majlis Malam Johor Di Hatiku anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) di sini.

Turut berangkat pada majlis santapan itu Sultanah Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga penaung PAMJ, dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sultan Ibrahim turut melahirkan kekesalan baginda kerana masih ada pihak yang percaya kepada broker pingat untuk mendapatkan darjah kebesaran.

"Semuanya adalah mengikut titik pandang saya sendiri, bukan dicadangkan oleh mana-mana pihak. Oleh itu janganlah ada sesiapapun yang cuba melobi saya dalam hal ini,” titah baginda.

Baginda bertitah pengurniaan itu adalah mengikut 'tilik pandang' baginda sendiri dan bukan cadangan daripada mana-mana pihak. "Oleh itu, janganlah ada sesiapapun yang cuba melobi saya dalam hal ini," titah baginda.

“Kepada sesiapa yang rasa dirinya layak untuk menerima pingat atau darjah kebesaran, sabar-sabar dulu, saya belum rabun lagi dan saya nampak siapa yang patut menerimanya,” tambah baginda lagi.

Sehubungan itu, jika ada pihak merasakan diri layak memperoleh pingat serta darjah kebesaran, mereka perlu bersabar kerana baginda dapat melihat orang yang patut menerimanya.

Sultan Ibrahim memberi contoh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hanya dikurniakan Darjah Mahkota Johor setelah begitu lama menjadi Menteri Besar Johor.

"Cubalah tanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berapa lama selepas menjadi Menteri Besar Johor, baru beliau dikurniakan darjah mahkota Johor," titah baginda.

Sebelum ini, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan terhadap broker pingat yang didapati bersalah kerana menipu orang kenamaan yang mahukan pingat dengan jalan mudah.

Sementara itu, menyentuh mengenai pembangunan negeri Johor, Sultan Ibrahim bertitah, pembangunan ekonomi negeri itu pada ketika ini adalah hasil usaha pemimpin kerajaan dan seluruh rakyat Johor. Baginda berharap pemimpin atasan di peringkat pusat dari Johor tidak akan lupa untuk membantu negeri sendiri.

“Sejak dulu lagi negeri Johor telah berjaya melahirkan ramai pemimpin Melayu terbilang pada hari ini. Kita mempunyai Timbalan Perdana Menteri dan ramai menteri yang merupakan orang Johor. Oleh yg demikian dengan adanya pemimpin-pemimpin atasan dari Johor, saya berharap mereka tidak lupa membantu negeri sendiri.


“Sekiranya ada projek-projek kerajaan yang hendak diagih-agihkan, bagilah peluang kepada syarikat atau pengusaha dari Johor. Jika ada sumbangan yang hendak dihulurkan, berilah keutamaan kepada rakyat Johor dan jika ada pembangunan yang hendak dibuat, bawalah ke Negeri Johor. Siapalah yang akan membantu negeri kita kalau bukan orang kita sendiri,” titahnya.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Baginda juga berharap anggota PAMJ, yang ditubuhkan pada 1982, tidak akan mengambil kesempatan menggunakan persatuan itu untuk kepentingan peribadi, dan mereka perlu bekerjasama bagi mencapai matlamat serta tujuan penubuhannya.