Social Icons

Singapura serah loji air kepada Johor




Sultan Ibrahim melawat loji air Gunung Pulai sebelum majlis menandatangani perjanjian bagi penyerahan dan penerimaan sempena tamatnya perjanjian air Johor-Singapura 1961 di Loji Air Gunung Pulai, semalam. Turut mengiringi, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura Dr Vivian Balakrishnan.



JOHOR BAHRU 1 Sept. — Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam menyaksikan majlis penyerahan kemudahan loji rawatan air dan rumah pam secara rasmi oleh Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) kepada kerajaan negeri Johor.

Majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB disempurnakan secara bersama oleh Pengerusi PUB Tan Gee Paw dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Obet Tawil, di Loji Air Gunung Pulai di sini.

Turut hadir pada majlis bersejarah itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Selain Loji Air Gunung Pulai, PUB menyerahkan Loji Air Sungai Skudai, Rumah Pam Tebrau dan Rumah Pam Pontian berikutan kontrak bekalan air selama 50 tahun tamat antara PUB dan kerajaan negeri Johor di bawah Perjanjian Air 1961 hari ini.

Dalam ucapan pada majlis itu, Abdul Ghani mengucapkan terima kasih kepada PUB kerana mengurus dan menjaga semua kemudahan loji rawatan air dan rumah pam berkenaan dalam keadaan baik sepanjang tempoh perjanjian tersebut.

"Loji rawatan air Gunung Pulai adalah berkualiti tinggi dan kerajaan Johor bercadang meneruskan usaha baik PUB itu," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri menimbang untuk menaiktaraf semua kemudahan berkenaan demi menampung permintaan bekalan air bagi penduduk Johor Baharu dan Pontian.
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Tan dan Obet pada majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB di Loji Air Gunung Pulai di Johor Bahru, semalam. Turut sama (dari kiri) Menteri Kanan Negeri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Grace Fu; Abdul Ghani, Vivian dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim (kanan).

Keputusan untuk menyerahkan kemudahan air itu secara percuma dicapai semasa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong pada 24 Mei tahun lalu.

Sebelum ini, dilaporkan penyerahan kemudahan air oleh PUB itu akan menghasilkan tambahan 681 juta liter air bersih sehari untuk negeri Johor.

Ekoran tamatnya perjanjian itu, Johor akan mengurus 43 daripada 44 loji rawatan air di negeri itu manakala PUB akan terus menguruskan Loji Rawatan Air Sungai Johor dan Empangan Linggiu di Johor.

Terdapat dua Perjanjian Air Johor-Singapura iaitu Perjanjian Air 1961 yang tamat pada 31 Ogos 2011 dan Perjanjian Air 1962 yang akan tamat pada 2061.

PEMANDANGAN Loji Air Gunung Pulai, Pontian yang diserahkan semula oleh Singapura kepada Johor selepas Perjanjian Air 1961 tamat secara rasmi kelmarin.