Social Icons

Sultan Johor kurnia RM200,000 untuk kebersihan Johor Bahru





SULTAN Ibrahim menyerahkan replika cek sumbangan terhadap usaha menceriakan bandar raya Johor Bahru kepada Shahrir Samad di Masjid At-Taqwa di Johor Bahru, kelmarin.



JOHOR BAHRU 24 Ogos - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan peruntukan berjumlah RM200,000 kepada Parlimen Johor Bahru dalam usaha untuk mengekalkan kebersihan dan keceriaan di kawasan sekitar ibu negeri di sini semalam.

Baginda sendiri menyampaikan peruntukan tersebut kepada Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Samad pada Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan yang diadakan di Masjid At-Taqwa, Taman Pelangi di sini.

Majlis dihadiri Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin; Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil

Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Burhan Amin; Pegawai Daerah Johor Bahru, Mislan Karmani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Mok Chek Hau.

Shahrir pada bulan lalu mendapat perkenan daripada Sultan Ibrahim untuk menggunakan tema program Kembara Mahkota Johor (KMJ) sebelum ini, 'Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Kita' untuk program gotong-royong berterusan sehingga KMJ tahun depan berlangsung.

Peruntukan yang dikurniakan oleh Sultan Ibrahim akan diagih-agihkan kepada Jawatankuasa Penduduk (JKP) di sekitar ibu negeri dengan masing-masing menerima RM5,000 dalam usaha menggalakkan kerja pembersihan sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan.

"Sumbangan yang diberikan Tuanku datang daripada Tabung Kembara Mahkota, yang mana baginda berkenan menyumbangkannya kepada Parlimen Johor Bahru dalam usaha memastikan Johor Bahru dalam keadaan bersih.
"Pelaksanaan akan dibuat di peringkat akar umbi yang mana penduduk melalui JKP di kawasan masing-masing akan bertanggungjawab terhadap kebersihan taman atau kawasan lapang di taman perumahan masing-masing," katanya ketika dihubungi.

Menurut Shahrir, usaha gotong-royong secara bersama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru juga akan diusahakan dalam memastikan tema yang diambil dari KMJ itu dapati direalisasikan.

23 FEBRUARI PERISTIWA BUKIT KEPONG


23 FEBRUARI PERISTIWA BUKIT KEPONG

SELEPAS Jepun berundur pada Ogos 1945, penduduk Tanah Melayu melalui satu zaman lagi yang penuh dengan ketakutan.

Berbeza ketika pendudukan Jepun, keadaan selepas 1945 lebih mengerunkan kerana pada masa itu komunis bermaharajalela. Keganasan mereka tidak mengira waktu, tempat dan mangsa. Mereka akan menyerang kampung, membakar rumah serta kebun untuk menakut-nakutkan penduduk dan mencuri bahan makanan.

Angka tepat mereka yang dibunuh komunis mungkin tidak akan diketahui. Begitu juga jumlah sebenar serangan yang telah mereka lakukan. Namun Holistik berusaha mengesan peristiwa hitam yang membabitkan komunis di Johor dengan bantuan Muzium PDRM dan berikut adalah antaranya:

Bersejarah.. Pondok Polis Bukit Kepong yang dibina diatas tapak balai yang hangus dibakar komunis

INILAH serangan paling berani komunis terhadap pasukan keselamatan. Ia dilakukan dengan penuh perancangan yang membabitkan tiga kumpulan.

Komunis menugaskan 100 orang dalam pasukan utamanya yang menyerang bahagian belakang sasaran dan 40 lain yang mengempur melalui pintu masuk utama. Kumpulan ketiga yang terdiri
daripada 45 lagi komunis diletakkan di garisan belakang pasukan penyerang ini untuk menyekat sebarang bantuan daripada sampai ke sasaran mereka – Balai Polis Bukit Kepong.

Tembakan pertama ke arah pejabat balai dilepaskan pada kira-kira pukul 4.30 pagi. Mulai saat itu, selama hampir lima jam berikutnya balai polis dan berek kediaman anggota dan keluarga dihujani peluru tanpa henti dari komunis yang ada antaranya bersenjatakan mesingan.

Sekali-sekala terdengar ledakan bom tangan. Congakan komunis bahawa balai polis itu mudah ditawan berdasarkan kepada bilangan mereka yang jauh lebih besar, meleset. Meskipun hanya
23 anggota termasuk lima Auxiliary Police (AP) yang kebetulan berada di balai ketika itu, semangat mempertahankan kedaulatan tanah air begitu membara dalam hati sanubari mereka.

Musnah...Beginilah keadaan balai selepas dibakar komunis.
Api kemarahan terhadap komunis bertambah marak melihatkan seorang demi seorang rakan gugur. Ia ditambah lagi apabila melihat isteri dan anak turut menjadi korban. Tentangan yang diberikan amat di luar dugaan.

Sejarah mencatatkan ada isteri anggota polis yang suaminya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan turut menggalas senjata membalas serangan.

Komunis bernasib baik kerana hanya apabila pasukan keselamatan kehabisan peluru, barulah mereka dapat mara ke dalam kawasan balai.

Terlalu marah kerana diaibkan dengan semangat juang tinggi hanya sekumpulan kecil anggota pasukan keselamatan, mereka membakar balai berkenaan.

Di akhir pertempuran, 14 anggota polis dan lima AP gugur selain empat anggota keluarga mereka.

7 Ogos 1943 - Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi
Segerombolan komunis menyerang pekerja Ladang Getah Telok Sengat yang sedang seronok menyaksikan tayangan gambar di ladang itu. Pengurus ladang berkenaan dibunuh manakala bangunan dibakar. Mereka juga melarikan dua lori sarat berisi beras.

14 September 1948 - Layang-Layang
Sebuah keretapi malam dari Kuala Lumpur ke Singapura telah digelincirkan menggunakan bahan letupan berhampiran Stesen Keretapi Layang-Layang. Motif serangan dipercayai untuk merompak namun ia gagal.

8 Mac 1949 - Johor Bahru
Seorang anggota polis terkorban apabila pasukannya diserang hendap pengganas. Operasi besar-besaran yang dilancarkan serta-merta menyaksikan empat orang komunis dibunuh.

8 Jun 1949 - Kampung Batu Enam, Segamat
Komunis melakukan antara serangan yang paling berani apabila mereka menembak mati seorang pemilik kedai. Sepasukan anggota keselamatan yang dihantar untuk menyiasat kejadian itu sebaliknya diserang hendap. Pertempuran sengit berlaku dan anggota keselamatan berjaya membunuh empat orang komunis dan merampas sejumlah senjata api. Malangnya seorang rakan mereka terkorban dan seorang lagi cedera.


17 Mac 1950 - Kempas
Komunis membakar bangunan Stesen Keretapi Kempas dan merampas kad pengenalan mereka yang berada di stesen berkenaan.

27 Mac 1950 - Kota Tinggi
Menahan dua buah bas di Kota Tinggi dan merampas kad pengenalan serta wang penumpang.

27 Mac 1950 - Batu 8 Jalan Endau, Mersing
Komunis membunuh seorang pemandu bas awam dan merampas kad pengenalan penumpang.

12 Februari 1951 - Gelang Patah
Beribu-ribu pokok getah di Ladang Selbourne telah dimusnahkan manakala pekerjanya dirompak.

19 Jun 1951 - Kulai
Sepasukan tentera Gurkha bertempur dengan segerombolan komunis menyebabkan tiga pengganas terbunuh dan tiga lagi cedera. Dalam pertempuran itu, beberapa pucuk senjata api beserta sejumlah besar peluru, bom tangan dan bahan makanan dirampas.

29 April 1955 - Renggam
Sepasukan peronda dari Batalion Pertama East Yorks Rejiment bertempur dan membunuh dua komunis serta mencederakan seorang lagi.

13 Februari 1956 - Tangkak
Sepasukan peronda dari Batalion Pertama Tentera Fiji bertempur dengan pengganas komunis dan membunuh lima orang.

13 Ogos 1957 - Tangkak
Sepasukan pasukan rondaan bersama tentera dan polis bertempur serta membunuh tiga orang komunis.

27 Disember 1957 - Tangkak
Lima orang komunis menyerah diri kepada eorang awam di Tangkak.

18 Januari 1958 - Segamat
Seorang penoreh getah dikejutkan dengan kehadiran empat orang komunis yang ingin menyerah diri kepada pasukan keselamatan.­



Daerah Batu Pahat Maju dan serba lengkap


Daerah Batu Pahat
Maju dan serba lengkap

Pesat...Sektor perindustrian menjadi pemacu utama ekonomi Batu Pahat.
JIKA ada daerah yang ingin mengaku banyak mengalami perubahan dalam tempoh 54 tahun lalu, Batu Pahat tidak harus segan untuk mendabik dada.

Manakan tidak. Batu Pahat yang satu ketika dahulu suram kini dianggap daerah kedua selepas Johor Bahru yang paling cepat kadar pembangunannya.

Kesesakan lalu lintas di pusat bandar berlaku tanpa mengira hari sementara gedung membeli-belahnya sentiasa padat dengan pengunjung.

Adalah menarik untuk diketahuibahawa terdapat tiga gedung membeli-belah ternama termasuk Tesco di bandar Batu Pahat yang mencerminkan kepesatan pembangunan daerah ini.

Batu Pahat mengalami perubahan ketara apabila kerajaan mempelbagaikan aktiviti ekonominya yang pada awal kemerdekaan berteraskan pertanian dan antara yang dilihat berpotensi besar untuk dimajukan ialah sektor perindustrian. Sri Gading, Tongkang Pechah dan Parit Raja yang namanya amat terasing dahulu kini menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan penduduk setempat malahan para pelabur termasuklah dari negara luar.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Yahya Mohd Salleh berkata permintaan terhadap tapak kilang di Sri Gading amat tinggi dan penggunaan kawasan itu sudah hampir ke tahap maksima.

“Setakat ini sebanyak 108 lesen telah dikeluarkan dan kami masih lagi menerima permohonan untuk membuka kilang di situ,” katanya.

Antara yang paling awal bertapak di kawasan perindustrian Sri Gading ialah gergasi elektronik Sharp Roxy dan pengusaha tekstil Ramatex Sdn Bhd.

Yahya berkata kawasan perindustrian Tongkang Pechah dan Parit Raja juga semakin berperanan
dalam meningkatkan lagi ekonomi Batu Pahat.

“Kita telah mengeluarkan 60 lesen kilang untuk kedua-dua kawasan ini dan antara jenama popular yang beroperasi di sini ialah Hwa Tai Industries, Hup Seng, kilang kayu Evergreen Industry.

“Fujitsu Component, pengeluar utama komponen elektronik dunia juga beroperasi di sini, ”katanya.

Tidak mahu dibuai dengan kejayaan setakat itu, kerajaan menamakan empat lagi kawasan sebagai lokasi sektor perindustrian termasuklah Sri Wangi di Parit Yaani, Taman Kota Yong Peng di Parit Sulong serta Jalan Ayer Hitam - Yong Peng yang menempatkan antaranya Munchy Food Industries Sdn. Bhd, pengeluar terkenal makanan ringan.

Batu Pahat juga boleh berbangga kerana dalam usaha kerajaan meningkatkan ekonominya, bidang
pendidikan tetapi diberi perhatian.

Satu lagi kelebihan daerah ini berbanding daerah lain ialah wujudnya pusat pembelajaran seperti  Kolej Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ( KUiTTHO) di Parit Raja, Institut Perguruan Tun Hussein Onn (IPTHO) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi ADTEC di Parit Sulong.

Sebagai rekod, satu-satunya kampus utama universiti awam di Johor ialah Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor Bahru manakala Universiti Teknologi Mara mempunyai kampus cawangan di Segamat.

Jolokan daerah aneka budaya yang diberikan kepada Batu Pahat juga amat bertepatan kerana di sinilah dikatakan menjadi pusat perkembangan seni tradisional antaranya tarian kuda kepang, barongan, kempelingan dan terbangan.

Batu Pahat juga adalah satu-satu daerah yang mempunyai taman tema air untuk keluarga beriadah dalam suasana yang selesa.

Nyatalah daerah ini yang mempunyai penduduk kira-kira 337,000 orang serba lengkap serba maju seiring usia kemerdekaannegara.

Adik bongkar rahsia Jalur Gemilang


ABU Bakar Hamzah terpaksa melanggar janji abangnya, Allahyarham Mohamed, apabila mendedahkan juga bahawa abangnya itu adalah perekacipta sebenar Jalur Gemilang yang sudah lebih 50 tahun berkibar megah di tanah air ini atau dahulu dikenali sebagai bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Janji si abang dipegang oleh si adik bongsu daripada 10 beradik itu sejak hampir 20 tahun sehinggalah pelbagai pihak berusaha menjejak perekacipta bendera kebanggaan negara, empat tahun lalu.
Mohamed Hamzah satu nama yang tidak begitu di kenali di kalangan rakyat Malaysia dan ramai tidak menyedari bahawa beliau adalah perekacipta Jalur Gemilang.

“Sebenarnya saya sudah melanggar janji abang untuk merahsiakan perkara ini. Tetapi saya terpaksa mendedahkan kerana terdapat orang lain yang mengaku hasil kerja abang saya,” kata Abu Bakar, 72, ketika ditemui di Pontian.
Bangga.. Abu Bakar bersama buku Mohamed Hamzah
Perekacipta Jalur Gemilang

Permintaan Mohamed ketika hayatnya masih ada amat difahami berikutan gelodak rasa jiwanya yang berasa dirinya dilupakan sedangkan beliau telah menyumbang sesuatu yang amat bermakna sempena kemerdekaan negara pada 1957.

Menurut Abu Bakar, ketika abangnya berusia 60-an, beliau berpesan supaya jangan memberitahu sesiapa mengenai sumbangannya merekacipta bendera kebangsaan.

Mohamed, yang dilahirkan pada 5 Mac 1918 sebelumnya bekerja sebagai seorang pembantu teknik di Jabatan Kerja Raya ( J K R ) , Johor Bahru telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 19 Februari 1993 dalam usia 75 tahun.

Ketika itu, negara sudah melupakan jasanya, malah jauh sebelum itu lagi tidak pernah dinyatakan di mana-mana mengenai sumbangannya sebagai penghargaan. Hanya pada 2004, usaha mengesannya dilakukan oleh mereka yang pernah bertugas dalam satu jabatan dengan Allahyarham.

Akhirnya ciptaan Mohamed disahkan berikutan hasil lakaran bendera yang dicipta di atas kertas kalis air (tracing paper) berukuran A4 berserta tandatanganya, dijumpai dalam timbunan lebih 5,000 lakaran di stor kejuruteraan JKR, Kebun Teh, Johor Bahru.

Menurut Abu Bakar, sebelum penemuan itu, ada beberapa individu tampil mengaku bahawa Jalur Gemilang adalah hasil rekaan mereka. Antaranya, seorang bekas wartawan radio Suara Amerika, di RTM, Ali Munawar mendakwa bendera itu dicipta oleh seorang penggiat seni, Allahyarham Idris Rauf pada 1948.

Abu Bakar kemudiannya mendapat bantuan Yayasan Warisan Johor (YWJ), JKR serta individu tertentu
bagi mendapatkan bukti-bukti bahawa abangnya adalah perekacipta Jalur Gemilang sebenar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YWJ atas segala usaha dan penerbitan buku perekacipta Jalur
Gemilang serta kerajaan negeri yang turut memberikan penghargaan kepada hasil kerja abang saya,” katanya.
Buku Mohamed Hamzah perekacipta Jalur Gemilang ditulis oleh Kamdi Kamil dari YWJ. Ia memaparkan sejarah perekacipta, bendera serta cara-cara menghormati bendera selain cara mengibarkan bendera dengan betul.

Abu Bakar mengesahkan Mohamed menghabiskan masa berjam-jam mereka bentuk bendera dan telah menghantar empat rekabentuk bendera untuk pertandingan di peringkat kebangsaan.

“Ketika itu abang berusia 29 tahun dan saya berusia 11 tahun,” katanya. Beliau menambah, disebabkan sifat patriotik dan cintakan negara, Mohamed menyertai pertandingan merekacipta Bendera Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1949 yang dianjurkan selepas pembatalan Malayan Union.

Sebanyak 373 corak bendera diterima oleh Jawatankuasa Khas pertandingan dan tiga rekabentuk telah dipilih untuk dinilai di peringkat akhir dengan dipaparkan kepada rakyat melalui suratkhabar ‘Malay Mail’.
Mohamed menghantar empat rekabentuk dengan dua daripada ciptaannya dipilih ke peringkat akhir. Akhirnya rakyat pula setuju memilih rekabentuk ciptaan Mohamed sebagai bendera negara.

Lakaran dan tracing dengan tandatangan
Mohamed Hamzah
Ketika itu, kata Abu Bakar, Dato’ Onn Jaafar yang juga Menteri Besar Johor, telah berkunjung ke kediaman mereka di Jalan Ungku Puan, Johor Bahru dan mencadangkan Mohamed agar mengubahsuai sedikit rekaan bentuk bintang lakarannya kepada 11 bucu. Beberapa pengubahsuaian turut dibuat ke atas lakaran asal bendera seperti menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning bagi melambangkan warna DiRaja.

Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 22 dan 23 Februari 1950 telah memberi perkenan kepada rekabentuk bendera berkenaan dan dua bulan berikutnya, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara.

Satu majlis mengibarkannya buat pertama kali dilakukan di bawah anjuran Pesuruhjaya Tinggi British pada 16 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh Raja-Raja Melayu.

Namun sekarang, ia mengandungi 14 jalur merah putih melambangkan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna biru tua pula melambangkan perpaduan rakyat, manakala anak bulan sebagai tanda Agama Islam iaitu agama rasmi negara.

Buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan  pada 2 May  1950


4 March 1950 Jawatankuasa peetandingan sebulat suara memilihkan bendera rekaan  Mohamed Hamzah sebagai bendera 
Persekutuan Tanah Melayu