Social Icons

Gelaran Yang Amat Mulia Enche' Besar

YAM Enche' Besar Hajah Khalsom sewaktu 
menerima Anugerah Darjah Kebesaran daripada 
Paduka Anakanda beliau DYMM Sultan Ibrahim 
ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 22.11.2010

Pada 22.11.2010, Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan menganugerahkan gelaran raja bergelar kepada Bonda baginda Cik Puan Hajah Khalsom binti Abdulah dengan gelaran Yang Amat Mulia Enche' Besar Hajah Khalsom binti Abdullah. Selain daripada itu baginda juga menganugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I) kepada YAM Enche' Besar Hajah Khalsom binti Abdullah. 
YAM Enche' Besar
Zubaidah binti Abdullah
 

Dengan anugerah ini segala urusan rasmi yang melibatkan bonda banginda hendaklah dibahasakan dengan gelaran Yang Amat Mulia. Gelaran Yang Amat Mulia Enche' Besar ini pernah dianugerahkan oleh DYMM Almarhum Sultan Sir Abu Bakar ibni Almarhum Daing Ibrahim kepada isteri kedua baginda YAM Enche' Besar Zubaidah binti Abdullah yang merupakan bonda kepada satu-satunya putera tunggal Al-Marhum iaitu DYMM Almarhum Sultan Ibrahim.

Yang Amat Mulia Enche' Besar Zubaidah binti Abdullah dilahirkan sebagai Cecilia Catherina Lange pada November 1848 di Bandong, Bali Indonesia. Bapa beliau, Mads Johansen Lange berketurunan Denmark merupakan Punggawa Besar Bali iaitu wakil Belanda di Bali, Indonesia. Ibunya Nonna Sang Neo seorang wanita berketurunan Cina dari Bali, Indonesia. Cecilia berkahwin dengan DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1872 dan menukar namanya kepada Zubaidah binti Abdullah selepas memeluk agama islam.

Sultan Abu Bakar telah menganugerahkan gelaran Enche' Besar kepada beliau dengan gelaran rasmi Yang Amat Mulia Enche' Besar Zubaidah binti Abdullah. Hasil perkahwinan dengan DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar, YAM telah melahirkan satu-satunya Putera yang menjadi pewaris tahta kerajaan Johor Moden ke-2 iaitu DYMM Almarhum Sultan Ibrahim. seorang lagi puterinya adalah Tunku Meriam yang berkahwin dengan Sultan Pahang Ke-2, KDYMM Sultan Mahmud ibni Almarhum Sultan Ahmad. Tunku Meriam mendapat gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Meriam. YAM Enche' Besar Zubaidah mangkat dalam usia 88 tahun pada 01.06.1936 di Johor Baharu, Johor.

Dari pemerhatian kawan terdapat beberapa persamaan diantara kedua-dua YAM Enche' Besar Hajah Khalsom binti Abdullah dengan YAM Enche' Besar Zubaidah bt Abdullah seperti berikut :-

    • Kedua-duanya bukan Sultanah Johor tetapi Putera mereka adalah Sultan Johor. 
    • YAM Enche' Besar Hajah Khalsom merupakan isteri pertama tetapi telah bercerai sewaktu paduka suami beliau iaitu DYMM Almarhum Sultan Iskandar menjadi Tunku Mahkota Johor manakala YAM Enche' Besar Zubaidah merupakan isteri kedua DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar.
    • Putera mereka merupakan Putera Sulung Sultan Johor yang secara langsung merupakan Waris Takhta dan seterusnya dimasyhur/tabalkan sebagai Sultan Johor.
    • Mempunyai seorang Putera tunggal (anak lelaki)
    • Berbangsa Eropah dari keluarga yang dihormati.
    • Mempunyai puteri (anak perempuan) yang berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang dan seterusnya akan menjadi Sultan Pahang. 
    • Anakanda YAM Enche Besar Zubaidah, Tunku Meriam telah berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang dan Seterusnya mendapat gelaran Tengku Ampuan Meriam apabila paduka suami baginda ditabalkan sebagai KDYMM Sultan Mahmud ibni Almarhum Sultan Ahmad. 
    • Manakala Puteri kepada YAM Enche' Besar Hajah Khalsom iaitu Tengku Puan Pahang, KDYTM Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bt Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang, KDYTM Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan seterusnya bakal menjadi Tengku Ampuan Pahang.